AM

KESELAMATAN, DIPLOMASI PACU KENAIKAN RANKING PASPORT MALAYSIA – PAKAR

11/03/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Ciri keselamatan canggih serta hubungan diplomatik yang kukuh menjadi antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan ranking pasport Malaysia daripada kedudukan ke-12 ke tangga ke-9 di peringkat antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata sistem biometrik yang diintegrasikan dalam pasport Malaysia menyukarkan pemalsuan dokumen berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sistem yang digunakan Jabatan Imigresen, termasuk kod QR serta penjenamaan pasport Malaysia, membuktikan bahawa dokumen ini sukar dipalsukan. Ini secara tidak langsung mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berisiko rendah dalam konteks keselamatan pasport antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut laman sesawang Passport Index, pasport Malaysia kini berada di tangga ke-9 selepas menduduki tempat ke-12 tahun lalu, dengan kadar penerimaan di 85 peratus negara di dunia.

Laman itu turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia boleh melancong tanpa visa ke 116 negara bagi tempoh antara 30 hingga 180 hari manakala 46 negara lagi membenarkan visa semasa ketibaan bagi pemegang pasport Malaysia.

Ahmad Martadha, yang juga Pakar Hubungan Antarabangsa UUM, berkata peningkatan kedudukan pasport Malaysia turut dipengaruhi oleh rekod baik rakyat negara ini, yang jarang dikaitkan dengan isu imigran haram di luar negara.

“Berapa ramai rakyat kita yang ke luar negara dan tinggal secara haram? Sebagai contoh, ada negara tertentu yang rakyatnya kerap tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Amerika Syarikat atau Eropah, menyebabkan negara mereka dikategorikan sebagai ‘red flag’ dan menyukarkan urusan kemasukan ke negara lain,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata hubungan diplomatik Malaysia yang baik di peringkat bilateral dan multilateral turut menyumbang kepada peningkatan ranking pasport negara.

Beliau berkata hubungan baik itu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam perjanjian bebas visa, pengecualian visa serta kemudahan visa semasa ketibaan sekali gus melonjakkan lagi imej negara.

“Peningkatan kedudukan pasport ini juga memberikan kemudahan perjalanan kepada rakyat Malaysia dalam urusan pendaftaran visa, serta akses lebih mudah kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di luar negara.

“Selain itu, ia mencerminkan kestabilan Malaysia dalam aspek ekonomi, keselamatan dan politik sekali gus menarik lebih banyak pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan