EKONOMI

SAPURA ENERGY PEROLEH PEMBIAYAAN RM1.1 BILION MENERUSI LANGGANAN RCLS OLEH MDH

11/03/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sapura Energy Bhd (SEB) memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).

Dalam kenyataan pada Selasa, SEB menjelaskan pihaknya telah memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SEB Group Muhammad Zamri Jusoh berkata pembiayaan itu merupakan usaha penting bagi memulihkan kestabilan kewangan kalangan vendor Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas, yang telah mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina.

“Kalangan vendor Malaysia kami kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami kesukaran kewangan semasa dan selepas pandemik COVID-19, di samping itu sentiasa menjadi hasrat kami untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang tertunggak kepada mereka,” katanya.

Menurut SEB pelaburan itu susulan sokongan padu daripada pemiutang terhadap Skim Pengaturan Komposit yang melibatkan SEB dan 22 anak syarikatnya di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.

Muhammad Zamri berkata pihaknya sedang menumpukan usaha pelan penyusunan semula yang kukuh, yang akan membawa pihaknya selangkah lebih dekat untuk keluar daripada status syarikat PN17.

“Kami melihat pemulihan SEB sebagai sebahagian daripada penggiatan semula minyak dan gas serta sektor perkhidmatan dan peralatan Malaysia, memastikan sektor ini berada pada kedudukan lebih baik untuk menyokong matlamat jaminan dan kemampanan tenaga negara, yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

SEB menyokong kira-kira 2,300 vendor Malaysia, dan kira-kira 1,800 daripadanya adalah PKS.

Syarikat itu telah memberikan kontrak bernilai RM7.3 bilion kepada vendor Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan