AM

KERAJAAN TERUSKAN PERUNTUKAN RM53.46 JUTA BAGI SBRPB DI SABAH, SARAWAK

12/03/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan meneruskan peruntukan sebanyak RM53.46 juta bagi pemberian input pertanian bersubsidi di bawah program Skim Baja dan Racun Padi Bukit dan Huma (SBRPB) di Sabah dan Sarawak pada tahun ini sebagai kesinambungan kepada inisiatif terdahulu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu bertujuan meningkatkan produktiviti, daya tahan ekonomi pesawah yang mengusahakan tanaman padi bukit atau huma dan memperkukuhkan sektor pertanian di kedua-dua negeri berkenaan.

“Pemberian subsidi ini bukan sahaja dapat meringankan beban kos pengeluaran yang ditanggung oleh pesawah tetapi juga sebagai dorongan agar terus mengusahakan tanaman padi bukit atau huma ini secara mampan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan mengenai impak terhadap pesawah dan kesinambungan bantuan itu kepada pengusaha padi huma dan bukit.

Arthur berkata pada tahun lepas, peruntukan itu disalurkan dalam bentuk subsidi input pertanian seperti baja sebatian, baja urea cecair dan racun rumpai kepada 33,597 pesawah di Sabah dan Sarawak dengan jumlah keluasan tanaman 27,457.69 hektar.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti untuk mengambil kira aktiviti penanaman kedua-dua jenis padi tersebut dalam Kadar Sara Diri (SSR) beras negara khusus bagi Sabah dan Sarawak kerana keluasan bertanam serta jumlah pengeluaran yang tinggi.

“Pada masa ini, pada bukit dan padi huma tidak diambil kira dalam SSR beras negara kerana aktiviti penanaman padi berkenaan diamalkan secara semitradisional dan bergantung kepada sumber air semulajadi,” katanya.

Arthur berkata kawasan bertanam di Sabah pada tahun lepas seluas 11,960.19 hektar manakala di Sarawak seluas 15,497.50 hektar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan