EKONOMI

PENGGUNAAN KAD KREDIT MENINGKAT, PENGURUSAN KEWANGAN PENTING UNTUK TEMPOH JANGKA PANJANG - EXPERIAN

12/03/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd mendapati perubahan ketara dalam tabiat perbelanjaan kad kredit, lebih 15 peratus individu kini menggunakan sebanyak 75 peratus atau lebih had kad kredit mereka berbanding 2023.

Syarikat data dan teknologi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata trend tersebut adalah konsisten merentas kumpulan umur berbeza, mencerminkan perubahan lebih meluas dalam penggunaan kredit.

"Penggunaan kad kredit lebih tinggi mungkin menunjukkan sama ada kuasa perbelanjaan melonjak atau tekanan kewangan yang semakin meningkat, mengukuhkan keperluan untuk pengguna mengurus kredit mereka dengan lebih baik untuk ‘kesihatan’ (kedudukan) kewangan bagi jangka panjang," katanya.

Experian Malaysia turut menekankan risiko kredit pengguna yang baharu muncul melalui Skor Amaran Awal (EWS), mendedahkan bahawa 28 peratus individu dalam kajiannya telah beralih daripada kedudukan ‘Sederhana” kepada ‘Berisiko Tinggi,’ manakala 24 peratus telah beralih daripada ‘Risiko Rendah’ kepada sama ada ‘Risiko Sederhana’ atau ‘Risiko Tinggi.’.

Skor EWS yang menurun menunjukkan tekanan kewangan meningkat untuk tempoh jangka pendek dalam pasaran, katanya.

“Selain itu, corak perubahan skor yang lemah menunjukkan bahawa...jika tidak ditangani, risiko ini boleh membawa kepada masalah kewangan jangka panjang bagi sesetengah pengguna.

“Data terbaharu ini menunjukkan potensi peningkatan dalam tunggakan pinjaman dan cabaran dalam pembayaran balik, menekankan keperluan untuk institusi kewangan mengambil langkah proaktif dalam mengurus risiko dan menyokong pengguna dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan mencegah bebanan kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Sebaliknya, trend penarafan i-SCORE Experian Malaysia untuk 2024 menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia terutamanya mereka yang mempunyai skor kredit lebih rendah sebelum ini sedang giat berusaha untuk menambah baik kedudukan kredit mereka.

Sebanyak 75 peratus pengguna yang mempunyai penarafan ‘lemah’ pada 2023 telah meningkatkan penarafan mereka dan 43 peratus daripada mereka yang mempunyai penarafan ‘sederhana’ tahun lepas beralih ke penarafan lebih tinggi pada 2024, bagaimanapun kira-kira 10 peratus daripada mereka mempunyai penarafan ‘baik’ menyaksikan penurunan penarafan i-SCORE mereka.

“Trend ini menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan keupayaan kredit mereka yang boleh membantu mendapat kelulusan pinjaman lebih baik dan kadar faedah lebih rendah,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Experian Malaysia Dawn Lai berkata trend kredit terkini mendedahkan perubahan positif dalam skor kredit tetapi juga menandakan kemunculan risiko yang memerlukan perhatian.

"Berdasarkan tingkah laku kewangan rakyat Malaysia terus berkembang, pengurusan kredit proaktif dan celik kewangan adalah lebih penting berbanding sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan