DUNIA

FBM KLCI TERUSKAN PENURUNAN DALAM PERSEKITARAN KETEGANGAN PERDAGANGAN GLOBAL

12/03/2025 07:11 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus mencatatkan penurunan, melepasi paras sokongan 1,490-1,500, didorong oleh kebimbangan pelabur yang meningkat terhadap kesan potensi pertikaian perdagangan global yang semakin memuncak.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya lebih rendah apabila pelabur berhadapan situasi yang tidak menentu berpunca daripada ekonomi yang berpotensi untuk menguncup.

Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 35.32 mata, atau 2.32 peratus, kepada 1,484.83 berbanding 1,520.15 ketika ditutup pada Selasa. Indeks itu mencatatkan penurunan hampir 10 peratus tahun ke tahun.

Penanda aras pasaran itu dibuka 15.44 mata lebih rendah pada 1,504.71, dan berubah-ubah antara 1,478.84 dan 1,505.33 sepanjang hari.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 659 kepada 297, manakala 469 tidak berubah, 969 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 3.09 bilion unit bernilai RM3.37 bilion berbanding 3.71 bilion unit bernilai RM3.29 bilion pada Selasa.

Thong percaya penurunan ketara hari ini adalah reaksi spontan terhadap dasar Presiden Donald Trump yang mencetuskan suasana ketidakstabilan kepada para pelabur.

 "FBM KLCI kini berada dalam kedudukan terlebih jual, oleh itu, kami menjangkakan aktiviti membeli pada harga rendah mungkin berlaku tidak lama lagi. Indeks dijangka bergerak dalam lingkungan 1,480-1,510 untuk baki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan menyatakan bahawa sektor kewangan, yang biasanya dianggap defensif kerana pendapatan stabil dan peranan penting dalam ekonomi, dilihat mendahului dalam sesi jualan bersar-besaran hari ini.

Beliau berkata kemerosotan itu didorong oleh kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penguncupan ekonomi global, yang boleh melemahkan pertumbuhan pinjaman dan meningkatkan risiko menurun bagi sektor tersebut.

"Selain itu, ketidaktentuan yang semakin meningkat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan penerbitan data inflasi AS telah meningkatkan lagi penghindaran risiko, mendorong pelabur mengurangkan pendedahan kepada saham kewangan," katanya.

Meskipun reaksi pasaran hari ini mencerminkan kebimbangan makroekonomi yang sebenar, Mohd Sedek berkata tindak balas sedemikian mungkin agak berlebihan.

Jangkaan tinggi terhadap data inflasi AS hari ini telah menyebabkan penentuan semula pasaran yang ketara, tetapi adalah penting untuk menilai sama ada reaksi ini selari dengan asas ekonomi.

"Memantau kedua-dua data dan pergerakan pasaran seterusnya adalah penting untuk menilai kemampanan sentimen semasa dan potensi peluang pemulihan," katanya.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank turun enam sen kepada RM10.18, Public Bank merosot lapan sen kepada RM4.33, CIMB menurun 26 sen kepada RM7.0, dan Hong Leong susut 10 sen kepada RM20.04. MR DIY menambah tiga sen kepada RM1.33 dan 99 Speed Mart naik satu sen kepada RM1.98.

Bagi saham-saham aktif, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 4.0 sen, MYEG naik satu sen kepada 90.5 sen, Nationgate meningkat 2.0 sen kepada RM1.17, Ta Win dan Velesto tidak berubah masing-masing pada 3.0 sen dan 15.5 sen, manakala NexG susut 1.5 sen kepada 25.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 216.67 mata kepada 11,051.22, Indeks FBMT 100 merosot 222.60 mata kepada 10,836.27, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 139.52 mata kepada 10,734.49, Indeks FBM ACE mengecil 41.16 mata kepada 4,398.97, dan Indeks FBM 70 merudum 181.06 mata kepada 15,664.33.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 568.51 mata kepada 18,200.78, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.95 mata kepada 148.95, Indeks Tenaga merosot 10.79 mata kepada 684.32, dan Indeks Perladangan turun 47.19 mata kepada 7,294.04.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.83 bilion unit bernilai RM3.16 bilion berbanding 2.03 bilion unit bernilai RM3.02 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menurun kepada 9.58 juta unit bernilai RM108.03 juta berbanding 1.28 bilion unit bernilai RM144.08 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 304.75 juta unit bernilai RM98.58 juta berbanding 397.96 juta unit bernilai RM129.01 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 266.93 juta saham dinigakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (297.0 juta), pembinaan (188.69 juta), teknologi (200.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (165.47 juta), hartanah (163.65 juta), perladangan (33.16 juta), REIT (27.29 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (326.22 juta), penjagaan kesihatan (68.58 juta), telekomunikasi dan media (48.87 juta), pengangkutan dan logistik (39.06 juta), utiliti (46.87 juta), dan amanah perniagaan (437,500).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan