EKONOMI

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS MENJELANG DATA INFLASI AS

12/03/2025 09:02 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan pelabur berhati-hati sebelum data inflasi AS dikeluarkan lewat malam ini dan dalam keadaan perang perdagangan global yang semakin meningkat.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4260/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4100/4175 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran bimbang mengenai perang perdagangan yang semakin meningkat, yang menjejaskan sentimen risiko.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan malam ini agak penting dan boleh menentukan hala tuju kadar faedah AS tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mahu mengurangkan lagi kadar dasarnya untuk mengatasi kemungkinan kemelesetan ekonomi AS.

“Selain itu, pasaran ekuiti serantau, serta FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), telah mencatatkan penurunan hampir 10 peratus setakat ini bagi tahun ini, menandakan keadaan enggan ambil risiko masih wujud,” katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengalami tekanan hari ini dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan, kenaikan hasil AS dan IHP AS.

Beliau berkata pasaran pula bersedia terhadap pengumuman data inflasi yang baik, yang boleh mendorong hasil lebih tinggi.

“Memandangkan hari tarif timbal balik 2 April, 2025 semakin hampir, minat risiko dijangka kekal tidak menentu terutamanya dengan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin memuncak.

“Tindakan harga yang lebih tidak menentu mungkin berlaku dalam beberapa minggu akan datang apabila pelabur bersedia terhadap peningkatan risiko dasar,” katanya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9775/9804 daripada 2.9921/9974 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding pound British kepada 5.7255/7306 daripada 5.7035/7132.

Unit tempatan juga turun berbanding euro kepada 4.8301/8345 daripada 4.8091/8173.

Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3181/3213 daripada 3.3118/3177 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0688/0868 daripada 13.0415/0695.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 269.0/269.3 daripada 268.7/269.3 sebelumnya, dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.70/7.72.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan