AM

RIBUT SEKINCHAN: BUMBUNG TERBANG, RUMAH JADI "TERANG" SEKELIP MATA

12/03/2025 09:41 PM

SABAK BERNAM, 12 Mac (Bernama) -- Suasana tenang di Taman Ria, Sekinchan, ketika penduduk sedang membuat persiapan berbuka puasa semalam bertukar cemas apabila kawasan itu dilanda ribut, menyebabkan puluhan rumah musnah.

Mengimbas detik cemas itu, Irham Mohammad, 44, berkata beliau sedang berehat di ruang tamu sambil menemani bapanya yang sakit apabila cuaca mendung tiba-tiba bertukar gelap, diikuti hujan lebat serta bunyi angin yang luar biasa kuat.

“Hujan hanya turun beberapa minit, tetapi yang merisaukan adalah bunyi angin yang sangat kuat. Dalam sekelip mata, rumah kami menjadi terang kerana bumbung dari bahagian garaj hingga ke dapur diterbangkan angin.

“Demi keselamatan, kami memilih untuk terus berlindung di dalam rumah, walaupun bumbung sudah tiada,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan hari ini.

Irham merupakan antara 17 mangsa daripada empat keluarga berlindung di PPS itu selepas kediaman mereka terjejas teruk akibat ribut sekitar 5 petang semalam. Kejadian itu turut menjejaskan sekitar 30 rumah lain. 

Pembantu stesen minyak itu berkata walaupun kejadian menyebabkan rumah mereka musnah lebih 70 peratus, namun dirinya bersyukur kerana bapa, ibu dan adiknya selamat. 

Bapanya Mohammad Idar, 78, menyifatkan kejadian itu sebagai amat luar biasa kerana sejak menetap di situ lebih 40 tahun lepas, kawasan tersebut tidak pernah dilanda ribut. 

"Saya terlantar di katil sejak beberapa tahun lepas. Jadi semasa kejadian, saya dapat lihat bumbung rumah terbang dalam hanya beberapa minit," katanya. 

Mohammad berharap pihak sewajarnya dapat menghulurkan bantuan kepada semua mangsa ribut itu memandangkan sambutan Aidilfitri semakin hampir.

Ribut semalam merupakan kejadian kedua melanda Sekinchan dalam tempoh seminggu, selepas insiden pertama di Kampung Parit 4 sekitar 7 pagi 6 Mac, menyebabkan lapan rumah rosak teruk.   

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan