KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) akan digabungkan dan dikenali sebagai Kolej Profesional MAIWP, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPBKL-IKB dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan diadakan pada Mei ini.
“Saya telah arahkan pihak pengurusan MAIWP untuk memastikan segala proses melibatkan penggabungan ini berjalan dengan lancar… kita juga akan adakan satu majlis simbolik bagi memecahkan tembok yang memisahkan IKB dan KPBKL (sekali gus) menandakan penggabungan dua institusi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP di IKB di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata penggabungan institusi pendidikan itu juga adalah satu usaha bagi memastikan kebajikan dan pendidikan golongan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan terus diperkasa.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut bercadang untuk menaik taraf Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) kepada universiti penuh.
“Kita harapkan melalui ekosistem pendidikan yang sistematik (MAIWP) ini, kita akan dapat mendidik anak-anak asnaf daripada peringkat awal seperti prasekolah hingga universiti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata MAIWP akan menyalurkan bantuan Ramadan dan Aidilfitri berjumlah RM1.305 juta kepada 4,250 pelajar institusi pendidikannya.
Beliau berkata IKB akan menerima peruntukan berjumlah RM90,000 manakala KPBKL RM270,000 berdasarkan pelajar yang layak, dan akan dikreditkan terus ke akaun penerima pada 25 Mac ini bagi membolehkan mereka membuat persiapan sambutan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Menurut beliau, MAIWP memperuntukkan RM230.63 juta tahun ini bagi memperkasakan modal insan termasuk RM131 juta untuk skim bantuan pendidikan, RM17 juta untuk program pembangunan pendidikan dan RM49 juta untuk membiayai institusi pendidikan.
-- BERNAMA