AM

TUDUHAN KOMPAUN TERHADAP MAESTRA BROADCAST BERAT SEBELAH ADALAH FITNAH - FAHMI

12/03/2025 10:09 PM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Tuduhan sesetengah pihak yang menyatakan kompaun dikenakan terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd, pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio Era FM, adalah berat sebelah dan menyebabkan agama Islam ditindas adalah satu fitnah, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata dakwaan terbabit dilihat berniat jahat dan lari daripada realiti ataupun fakta.

Beliau berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan senarai soalan lazim berkenaan kompaun yang telah dikenakan terhadap syarikat itu kerana masih ada pihak yang cuba memutarbalikkan fakta berkenaan perkara itu.

"Saya sudah jelaskan bahawa yang dikenakan kompaun ialah syarikat pemegang lesen, yang mengendalikan stesen radio Era FM, iaitu Maestra Broadcast dan bukannya Era FM itu sendiri mahupun ketiga-tiga penyampai radio. 

"Kes ini tidak dibawa ke mahkamah, tetapi telah diputuskan, diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk mengenakan kompaun (maksimum)," katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Semalam, MCMC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya tidak menggantung lesen Maestra Broadcast, namun pengendali stesen radio Era FM itu dikenakan kompaun RM250,000.

MCMC menyatakan kompaun itu, yang dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara, adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa bermula pada 11 Feb 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kes membabitkan stesen radio, dua individu termasuk pelawak serta sebuah syarikat pengendali kedai serbaneka, yang terlibat dalam kes melibatkan agama, ialah tiga kategori berbeza.

"Kalau disebutkan isu berkaitan KK Mart, siasatan di bawah Kanun Keseksaan dan denda dikenakan adalah sebanyak RM60,000, melalui keputusan mahkamah manakala bagi kes (pelawak) Harith Iskander dan Cecelia Yap, kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan mereka ialah kategori individu, bukan syarikat.

"Maka, Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan isu ini tidak dibawa ke mahkamah tetapi diputuskan, diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk mengenakan kompaun. 

"Ingin saya ingatkan juga kesalahan ini berlaku sebelum pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang berkuat kuasa pada 11 Feb lepas … sebelum tarikh itu, kesalahan boleh dikenakan denda di mahkamah hingga RM50,000 manakala selepas tarikh itu, denda dinaikkan hingga RM500,000, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan