AM

JURUTERBANG VETERAN 'MELUKIS SENJA' DI LANGIT LANGKAWI

24/05/2025 06:08 PM

LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Dalam usia yang menjengah senja, juruterbang veteran Datuk Halim Othman masih mampu menerbangkan pesawat ringan EXTRA 300 L Krisakti untuk membuat persembahan aerobatik pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25). 

Aksi aerobatik solonya yang berlangsung ketika matahari terbenam bukan sahaja memikat ribuan penduduk dan pengunjung di pulau bersejarah ini malah menjadikan ia antara detik paling diingati dalam edisi ke-17 pameran berprestij itu apabila tular di media sosial.

Membawakan konsep 'melukis senja', penerbangan unik 'Sunset Show' oleh jurutebang berusia 59 tahun itu julung kali diadakan di ruang udara pantai Chenang di sini yang menampilkan kesan visual dramatik menerusi nyalaan api dan formasi asap berbentuk hati.

“Selepas COVID-19, LIMA kali ini seperti memberi nyawa baru. Jadi saya fikir, kenapa tidak hadiahkan sesuatu yang berbeza kepada penonton ketika waktu yang orang biasanya sedang berehat, iaitu waktu matahari terbenam,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai Aerotree LIMA di Pusat Pameran Antarangbangsa Mahsuri di sini, hari ini.

Sunset Show itu dilaksanakan menggunakan pesawat aerobatik khas yang telah diubah suai dari segi teknikal untuk membolehkan pemasangan sistem piroteknik dan asap berwarna, katanya.

Idea persembahan itu dicetuskan dua bulan lepas di London dan kemudiannya direalisasikan menerusi sokongan Aerotree Group sebagai penaja utama. 

Menurutnya persiapan melibatkan proses integrasi sistem ke pesawat serta mendapatkan pensijilan keselamatan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

“Kita pasang enam unit ‘pyro’, tiga di kiri dan tiga di kanan sayap yang diaktifkan mengikut giliran. Setiap satu menyala sekitar 75 saat. Apabila digabungkan dengan formasi dan manuver ringan, kesannya sangat menakjubkan di latar langit senja Langkawi,” katanya.

Halim turut berkongsi perancangan untuk memperkenalkan pasukan aerobatik baharu dengan enam pesawat lengkap berserta asap berwarna bagi penganjuran LIMA akan datang dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Ini bukan sekadar pertunjukan, ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial (CSR) Aerotree untuk menyemai semangat anak-anak muda tempatan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

LIMA ’25 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, menghimpunkan pelbagai aset udara dan maritim dari dalam dan luar negara bermula 20 Mei lepas dan melabuhkan tirai hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan