AM

LSS COARA MARANG CIPTA KELAINAN BINA DI KAWASAN BANJIR, MAMPU JANA ELEKTRIK 10,000 ISI RUMAH SETIAP HARI

27/05/2025 09:05 PM

MARANG, 27 Mei (Bernama) -- Tindakan ‘meredah’ kawasan risiko banjir bagi membangunkan sebuah ladang solar berskala besar (LSS) Coara Marang bukan sahaja menghairankan, malah kemampuannya membekalkan tenaga elektrik dianggarkan lebih 10,000 isi rumah setiap hari, juga merupakan sesuatu yang luar biasa.

Meskipun kawasan seluas 242.8 hektar (600 ekar) di Merchang itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir setiap tahun, ia tidak menjadi penghalang bagi syarikat Coara Marang Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama daripada syarikat ib vogt dan Coara Solar Sdn Bhd, mendirikan sebuah ladang solar dengan melakukan sedikit inovasi tanpa mengetepikan prinsip kelestarian serta memusnahkan keadaan asal alam sekitar.

Pengurus Aset LSS Coara Marang Naim Roni, 35, berkata pembangunan ladang solar itu menekankan konsep budaya hijau di peringkat permulaan lagi, antaranya menggunakan tanah yang tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

“Kita nak cuba perkara baharu dari segi konsep tenaga hijau, antaranya dengan mengoptimumkan tanah yang tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Dengan adanya projek ini ia secara tidak langsung meningkat nilai tanah berkenaan di samping menjana tenaga hijau yang bersih,” katanya.

Naim berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan di ladang solar itu sempena program turun padang Jelajah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad Zon Timur, yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Mei di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Naim berkata susulan berdepan dengan risiko banjir saban tahun, reka bentuk struktur pemasangan solar fotovoltaik (PV) setinggi lima meter, sedikit berbeza daripada ladang solar lain yang kebiasaannya ketinggian dalam satu ke dua meter daripada tanah.

“Dalam Malaysia, struktur PV ini paling tinggi, iaitu sepanjang lima meter yang bertujuan untuk memastikan apabila musim banjir tiba, tiada isu keselamatan seperti renjatan elektrik dan kerosakan kepada peralatan kita.

“Selain itu, modul ini dipasang dengan sistem pelacak satu paksi yang membolehkan pergerakan PV mengikuti arah matahari untuk penjanaan optimum,” katanya.

Beliau berkata ladang solar berkenaan turut beroperasi 24 jam dengan dua syif harian dan disokong oleh pasukan penyelenggaraan yang bersiap siaga sepenuhnya semasa musim tengkujuh.

LSS Coara Marang yang dilancarkan pada 26 Okt 2022 melibatkan kos sebanyak RM400 juta, dengan pembinaan ladang solar tersebut bermula pada Februari 2021 sebelum mencapai operasi komersial pada 17 Sept 2022.

Sementara itu, Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli ketika ditemui di ladang solar itu berkata pembangunan dan pengoperasian loji solar berskala besar seperti LSS Coara Marang, sejajar dengan sasaran kerajaan di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR) yang menetapkan peralihan kepada tenaga bersih serta boleh diperbaharui.

“Malaysia menyasarkan peningkatan campuran tenaga boleh diperbaharui dalam sistem elektrik negara kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang tahun 2050,” katanya.

Mad Zaidi berkata sebagai antara ladang solar termaju dari segi teknologi dan kecekapan, LSS Coara Marang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sasaran ini. 

Beliau berkata selain membantu mengurangkan pelepasan karbon, projek itu juga menjadi model bagi reka bentuk loji solar tahan bencana, yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan berisiko tinggi banjir, sekali gus memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara.

Susulan itu, Mad Zaidi menggalakkan mana-mana syarikat yang menceburi industri peralihan tenaga baharu ini untuk sentiasa berinovasi dan beradaptasi, dalam usaha  memperkasakan teknologi hijau demi kelestarian alam sekitar dan kehidupan manusia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan