Oleh Sevagamy Nythiananthan
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Institusi kewangan di Malaysia disaran mengukuhkan prosedur usaha wajar bagi kiriman wang korporat sejajar dengan pengawalseliaan sedia ada di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pakar pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan Muhamad Nazri Shaidon berkata Seksyen 16 AMLA menetapkan obligasi yang jelas kepada bank untuk melaksanakan usaha wajar pelanggan yang bersesuaian, terutama apabila menguruskan kiriman wang korporat.
Beliau yang sebelum ini mempunyai pengalaman hampir sedekad dalam Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan di bank pusat berkata meskipun syarat ‘Kenali Pelanggan Anda’ (KYC) adalah standard dalam sektor kewangan, pelaksanaan yang mendalam dan keberkesanannya mempunyai perbezaan ketara dalam kalangan institusi.
“KYC yang berkesan bukanlah sekadar ditanda di atas kertas. Bank perlu giat mengesahkan maklumat pelanggan bagi memastikan ia selaras dengan aktiviti perniagaan yang diisytiharkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Muhamad Nazri yang juga pengamal dan jurulatih bidang pencegahan pengubahan wang haram berkata institusi kewangan dikehendaki membuat saringan terhadap pelanggan korporat dan individu yang berkaitan dengan mereka daripada pelbagai senarai sekatan dan senarai hitam.
“Perkara ini amat penting bagi pelanggan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi. Bagi pelanggan berisiko tinggi, penilaian usaha wajar yang dipertingkatkan adalah perlu.
“Ini termasuk individu atau entiti yang dikaitkan dengan orang yang mempunyai pengaruh politik, struktur pemilikan yang kompleks, industri berisiko tinggi seperti perjudian, pertahanan, ejen hartanah berdaftar, peniaga logam atau batu berharga serta penyedia perkhidmatan profesional seperti peguam dan akauntan,” katanya.
Muhamad Nazri berkata pelanggan yang dikaitkan dengan laporan media yang negatif juga boleh diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan perlu diteliti dengan lebih mendalam dari segi latar belakang, sumber dana dan tingkah laku transaksi yang sedang dilaksanakan.
“Bank juga perlu memahami dengan jelas sifat dan tujuan hubungan perniagaan serta memastikan semua aktiviti transaksi adalah selaras dengan profil risiko pelanggan yang telah ditetapkan.
“Pengenalpastian yang tepat terhadap pemilik benefisial iaitu individu yang secara langsung atau tidak langsung mengawal 25 peratus atau lebih daripada entiti berkenaan adalah penting.
“Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena atau mencurigakan, bank perlu segera menyerahkan laporan transaksi yang mencurigakan itu kepada Bank Negara Malaysia mengikut obligasi kawal selia,” katanya.
-- BERNAMA