DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

04/06/2025 10:21 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini menjejaki kenaikan semalaman Wall Street kerana sentimen dirangsang oleh dasar tarif Presiden AS Donald Trump mungkin ditarik balik, dilihat sebagai alat rundingan, kata seorang penganalisis.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.27 mata kepada 1,506.52 daripada 1,503.25 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.85 mata lebih tinggi kepada 1,507.10.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan 141 kaunter untung dan 119 kaunter rugi, manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,820 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 81.17 juta saham bernilai RM40.27 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagaimanapun, ramai yang berhati-hati dengan kesan tarif ke atas data ekonomi AS.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) naik semula apabila sentimen dirangsang oleh perbincangan peringkat tinggi antara Presiden China Xi Jinping dan Trump yang mungkin berlaku untuk mengurangkan ketegangan perdagangan yang berterusan.

"Sama ada ini akan berlaku...ia masih belum diketahui tetapi jangkaannya telah digembar-gemburkan," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI pada Selasa meneruskan penurunannya dan pada satu masa, menebus paras psikologi 1,500.

Namun begitu, pembelian saham ketika harga murah berjaya melonjakkan semula indeks ke atas paras 1,500.

"Secara keseluruhannya, keadaan pasaran masih lemah. Oleh itu, indeks penanda tidak menentu diburukkan lagi oleh jualan berterusan oleh dana asing.

"Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran antara 1,500-1,510 mata sekali lagi," kata Thong.

Antara saham berwajaran tinggi, YTL Corporation naik 2.0 sen kepada RM1.82, PMetal meningkat 5.0 sen kepada RM5.00, Hong Leong Financial Group melonjak 16 sen kepada RM16.46, Petronas Chemicals menambah 3.0 sen kepada RM3.31 dan SD Guthrie menokok 4.0 sen kepada RM4.55. 

Bagi saham aktif, KNM turun 0.5 sen kepada 3.0 sen, Avangaad tidak berubah pada 28 sen, Toyo Ventures naik 1.5 sen kepada 38.5 sen, manakala SSF Home Group, PA Resources and Managepay Systems tidak berubah masing-masing pada 36.5 sen, 18 sen dan 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 20.89 mata kepada 11,275.35, Indeks FBMT 100 naik 21.58 mata kepada 11,044.30, dan Indeks FBM ACE turun 10.32 mata kepada 4,471.49.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 29.68 mata kepada 11,239.83, manakala Indeks FBM 70 melonjak 22.01 mata kepada 16,164.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 11.33 mata kepada 17,773.96, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.70 mata kepada 150.78, Indeks Tenaga menokok 0.88 mata kepada 699.84, manakala Indeks Perladangan menokok 14.45 mata kepada 7,233.33.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan