KUANTAN, 10 Jun (Bernama) -- Isu berkaitan dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia menjadi antara tumpuan utama Mesyuarat ke-8 Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 yang berlangsung di sini.
Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata mesyuarat itu membuka ruang kepada delegasi negara-negara ASEAN untuk bertukar pandangan serta kepakaran dalam menangani jenayah berkenaan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“AIPACODD kali ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, mewujudkan persefahaman antara negara anggota ASEAN bagi merangka satu dasar bersama. Kedua, kita mahu mendapatkan idea baharu yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini, khususnya dalam menangani isu jenayah siber dan pemerdagangan manusia, yang memerlukan cadangan serta input perundangan daripada negara-negara terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena mesyuarat tersebut yang bertemakan ‘Uniting Parliaments for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges’ di sini, hari ini.
Johari turut memaklumkan bahawa hasil perbincangan mesyuarat akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk dibahaskan sebelum dikemukakan sebagai usul di Dewan Rakyat.
“Kita juga akan kemukakan hasil mesyuarat ini kepada Sekretariat ASEAN sekiranya ia melibatkan isu pentadbiran yang memerlukan tindakan segera, khususnya berkaitan isu dadah. Sekretariat ASEAN boleh mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan cadangan yang dikemukakan,” katanya.
Mesyuarat AIPACODD yang bermula hari ini akan diteruskan esok dengan sesi perbincangan dan pengesahan resolusi rasmi AIPACODD, sebelum diakhiri dengan majlis penutupan dan ucapan penghargaan oleh wakil Filipina selaku tuan rumah mesyuarat akan datang.
Sebagai simbol sokongan institusi diraja terhadap diplomasi antara Parlimen demi ASEAN yang lebih selamat dan mampan, satu jamuan diraja turut dijadualkan malam ini atas perkenan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Johari merujuk laporan terbaharu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) bertarikh 28 Mei lepas yang menyatakan golongan belia ASEAN kini berdepan risiko baharu akibat kemunculan produk dadah sintetik yang direka untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa Thailand merampas 1,555 ‘K pods’ mengandungi ketamin dan etomidate yang digunakan dalam produk vape, manakala etomidate dalam cecair elektronik turut dikesan di beberapa negara ASEAN lain termasuk Thailand, Singapura dan Indonesia.
“Produk ini dipasarkan dengan pembungkusan menarik dan kaedah penyampaian yang dianggap ‘lebih selamat’ menerusi vape, sekali gus menyasarkan golongan muda yang kurang menyedari risikonya,” katanya.
Sehubungan itu, Johari menegaskan AIPACODD perlu melalui proses transformasi agar kekal relevan dalam menghadapi rangkaian jenayah yang kini beroperasi secara terancang dan cekap seperti entiti korporat dalam sektor haram.
Beliau berkata transformasi tersebut penting kerana aktiviti pengedaran dadah kini menjadi sebahagian daripada ekosistem jenayah yang lebih luas, merangkumi pemerdagangan manusia, penyeludupan hidupan liar, pengubahan wang haram dan jenayah siber.
-- BERNAMA