AM

PEJABAT BERNAMA BIRO MELAKA ROSAK AKIBAT RIBUT

10/06/2025 05:26 PM

MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Pejabat Bernama Biro Melaka mengalami sedikit kerosakan berikutan ribut dan hujan lebat di Ayer Keroh di sini pada kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Biro Bernama Melaka Mohd Fakri Awang Lah berkata insiden itu disedari Eksekutif Kanan Jualan agensi berita berkenaan Masiron Kassiran yang tiba di pejabat pada kira-kira 7.40 pagi.

"Masiron menghubungi saya sebelum saya serta Pembantu Tadbir Irfan Faiz Azhar tiba pada 8 pagi dan mendapati lantai pejabat digenangi air… pemeriksaan selanjutnya mendapati bahagian stor yang menyimpan fail dan aset elektrik serta elektronik turut dibasahi air selain siling runtuh," katanya.

Mohd Fakri berkata beliau mengesyaki sistem overflow di kawasan bumbung stor tidak dapat menampung jumlah hujan yang banyak sehingga melimpah sebelum memasuki bangunan menerusi celah antara bumbung dan dinding.

"Sebelum ini, pernah beberapa kali pejabat ini dimasuki air akibat hujan namun kejadian ini saya rasakan paling teruk.

"Nasib baik bilik yang menempatkan server telah ditukar ke bahagian belakang pejabat selepas ubah suai tempoh hari... kalau tidak, kerugian pasti lebih besar kerana sebelum ini server ditempatkan di stor berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan