MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan dan agensi kerajaan negeri perlu menyegerakan mana-mana projek pembangunan tertangguh dalam tempoh berbaki enam bulan tahun ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan oleh jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan sasaran pembangunan yang dirancang dalam Bajet 2025 tercapai.
“Peruntukan pembangunan khusus untuk Melaka bagi 2025 ialah sebanyak RM88 juta dan sehingga 31 Mei, sebanyak RM19.52 juta bersamaan 22.18 peratus peruntukan telah dibelanjakan, sekali gus mencatatkan peruntukan yang masih berbaki adalah RM68.48 juta atau 77.82 peratus.
“Sebanyak 86 projek telah siap dilaksanakan, 100 projek dalam pelaksanaan dan 55 projek lagi masih belum bermula. Justeru, dalam tempoh masa berbaki enam bulan sebelum menuju ke tahun baharu, kesemua projek yang tertangguh perlu diberi prioriti dan disegerakan bagi memastikan kita mencapai sasaran pembangunan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Melaka 2026 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sebanyak 913 permohonan projek membabitkan peruntukan berjumlah RM157.86 juta diterima melalui sesi libat urus yang diadakan pada hari ini.
Beliau berkata setiap permohonan akan diperhalusi untuk memastikan semua projek memberikan impak yang jelas, di samping memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan serta keperluan rakyat.
“Apa juga misi, strategi, indikator atau pelan tindakan yang dirancang perlu direalisasikan dengan tindakan jelas iaitu mendahulukan projek yang paling mendesak.
“Kita perlu memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan sebaik mungkin kerana lebih 60 peratus peruntukan Bajet Pembangunan Negeri adalah daripada hasil negeri,” katanya.
-- BERNAMA