EKONOMI

KERAJAAN SALUR LEBIH RM1.62 JUTA BANTU PEKEBUN KECIL SAWIT SABAH -- CHAN

10/06/2025 07:16 PM

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) -- Kerajaan telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM1.62 juta kepada 21 pekebun kecil sawit persendirian melibatkan keluasan 90.32 hektar bagi tujuan penanaman semula di kawasan pedalaman Sabah.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin mengumumkan bantuan itu semasa lawatan kerja beliau selama dua hari ke Pensiangan, Keningau dan Tenom yang berakhir hari ini.

Peruntukan berkenaan yang diagihkan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), menyaksikan lima pekebun kecil di Pensiangan menerima RM391,752, lapan di Keningau mendapat RM713,534.40 dan lapan lagi di Tenom memperoleh RM520,425.

"Kawasan pedalaman Sabah mempunyai potensi besar untuk komoditi sawit. Kerajaan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan tetapi juga membantu pekebun kecil ke arah pembangunan mampan melalui dasar-dasar yang menyokong mereka," kata Chan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pakej bantuan berkenaan turut merangkumi subsidi untuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sokongan untuk amalan pertanian yang baik, rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri untuk meningkatkan pematuhan piawaian MSPO.

Sehingga 30 April, Sabah telah mencapai kadar pensijilan MSPO yang luar biasa iaitu sebanyak 97.62 peratus dengan 30,768 pekebun kecil mendapat sijil yang meliputi kawasan seluas 191,204.27 hektar.

Skim TSPKS 2.0, yang dikendalikan oleh Agrobank dengan geran padanan bernilai RM100 juta, telah meluluskan 571 permohonan di Sabah, meliputi kawasan seluas 2,505.06 hektar.

Chan juga memuji Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Apin-Apin kerana menjadi KPSM pertama di Sabah yang memperoleh pensijilan MSPO untuk pusat penimbangan mereka.

"Pensijilan MSPO bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan di pasaran antarabangsa untuk minyak sawit Malaysia, tetapi turut membawa manfaat ketara kepada pekebun kecil seperti amalan pertanian yang lebih baik, pemuliharaan alam sekitar, kualiti produk yang lebih tinggi dan akhirnya, pendapatan yang meningkat," tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan