AM

TIADA ISU KEKURANGAN DARAH DI HRPB - EXCO PERAK

10/06/2025 08:35 PM

IPOH, 10 Jun (Bernama) -- Tiada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) mengenai isu kekurangan darah bagi menampung keperluan mangsa kemalangan bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Saya akui ramai terkesan dan seboleh-bolehnya mahu membantu melalui pelbagai cara bagi memastikan semua mangsa yang ditempatkan di HRPB dapat diselamatkan.

“Cuma dalam kita membantu, biarlah ia tidak memberi kesan yang boleh membangkitkan keresahan atau kebimbangan orang ramai mengenai rawatan susulan diberikan pihak berwajib,” katanya ketika ditemui Bernama di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di laman media sosial Threads mengenai rayuan individu meminta orang ramai menderma darah kepada mangsa yang mengalami kecederaan kritikal, selain memaklumkan HRPB memerlukan penderma darah jenis A dan B.

Mohd Azlan berkata pihaknya akan memantau perkembangan kesemua mangsa dan bersiap sedia membantu sekiranya diperlukan.

“Jika benar HRPB memerlukan darah, kita akan menguar-uarkan perkara berkenaan melalui Jabatan Penerangan Negeri atau pihak berkepentingan lain bagi memastikan bantuan dapat disegerakan,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53 JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan