Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
BATU KAWAN, 11 Jun (Bernama) -- The Ship Campus di Peninsula College Malaysia, sebuah kemudahan pendidikan inovatif yang terletak di Batu Kawan di sini, bersedia untuk merevolusikan sektor pendidikan logistik dan industri di Malaysia.
Kampus itu yang direka sebagai kampus dalam industri ialah teras utama inisiatif PKT Logistics Group (PKT) untuk mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan pengalaman industri sebenar.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan PKT Datuk Seri Dr Michael Tio berkata terletak di Taman Perindustrian Batu Kawan, kampus ini menyokong usaha PKT untuk mewujudkan ekosistem pendidikan dan industri yang bersepadu bagi manfaat pelajar serta majikan.
“Sebagai pusat kecemerlangan bagi Peninsula College Malaysia, cabang CSR dalam pendidikan oleh PKT, The Ship Campus bukan sekadar menjadi tempat pembelajaran ia juga pemangkin transformasi landskap logistik dan industri Malaysia,” katanya.
Michael yang juga Pengarah Urusan Peninsula Higher Education Sdn Bhd berkata pendekatan menumpukan kepada aspek pendidikan sejajar dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara yang menekankan kemahiran teknikal dan insaniah selain memastikan pelajar bersedia untuk memenuhi keperluan tenaga kerja moden sebaik tamat pengajian.
Beliau berkata persepsi terhadap TVET telah mengalami perubahan dan kini menjadi tonggak utama dalam sistem pendidikan di negara ini, terutamanya dalam industri seperti logistik, pembuatan, dan teknologi.
“Bagi mengukuhkan lagi TVET, kami memperkenalkan program ‘Jom Bekerja Sambil Belajar’, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman di dunia pekerjaan sebenar sambil menyambung pengajian sekali gus memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja,” katanya.
Memandangkan kemahiran praktikal kini menjadi keperluan utama di samping pengetahuan akademik, pelajar berpeluang menimba pengalaman praktikal selain memupuk ketahanan dan jati diri. Pendekatan menyeluruh ini memastikan graduan bukan hanya berpengetahuan, malah mampu menyesuaikan diri, bersedia dan yakin mengharungi cabaran.
Selain program akademik, The Ship Campus turut menyediakan makmal IR4.0 khusus untuk pelajar dan profesional industri meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, bermatlamat merapatkan jurang kemahiran tenaga kerja melalui kursus bertauliah MQA serta latihan berasaskan industri.
Terletak berhampiran jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, beliau berkata keunikan reka bentuk kampus itu yang menyerupai kapal persiaran menjadikan ia bukan sekadar mercu tanda serantau, malah menarik perhatian penduduk setempat dan pelawat.
Menawarkan pembelajaran yang holistik, kampus berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih termasuk teater kuliah yang moden, ruang pembelajaran kolaboratif dan kemudahan rekreasi, semuanya direka untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan keperibadian.
Kampus itu juga dilengkapi ciri kelestarian yang mengutamakan amalan hijau dan sistem cekap tenaga.
“Kampus itu juga menjadi lokasi untuk penganjuran pelbagai majlis dan acara serta program latihan dan permukiman. Dengan kapasiti tempat duduk mencecah 4,000, kampus ini juga bersedia untuk menganjurkan pelbagai lagi aktiviti pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang merasmikan kampus berkenaan pada Mei 2022, baru-baru ini memuji Peninsula College atas usaha progresif yang mentakrifkan semula pendidikan melalui model unik kampus dalam industri.
Beliau berkata dengan menggabungkan pengetahuan akademik dan pengalaman praktikal, mahasiswa melangkah ke alam pekerjaan dengan dilengkapi kemahiran secukupnya dan menjadi rebutan pasaran sekali gus menyokong visi Pulau Pinang untuk memperkukuh bakat yang ada.
“Perkembangan pesat Batu Kawan sebagai pusat perniagaan dan perindustrian, The Ship Campus membantu meningkatkan daya tarikan pelaburan Pulau Pinang, mewujudkan peluang pekerjaan dan membina ekonomi yang bersedia untuk masa depan,” katanya.
Ahmad Fuzi turut memuji inisiatif Biasiswa Kecemerlangan Pendidikan Yayasan PKT yang menyediakan sokongan penting kepada politeknik dan individu yang layak, memastikan pelajar berbakat dari semua latar belakang dapat melanjutkan pelajaran tanpa bebanan kewangan.
"Selain itu, Peninsula College menjadi model kecemerlangan pendidikan tinggi dengan persekitaran pembelajaran inovatif di The Ship Campus yang direka menyerupai kapal persiaran, menggabungkan estetika moden dan berfungsi untuk mewujudkan ruang inspirasi berteraskan masa depan pendidikan," katanya.
The Ship Campus ialah projek oleh PKT Logistics Group Sdn Bhd, menempatkan cabang pendidikan PKT termasuk Kolej Peninsula yang menawarkan program pengajian tinggi dengan kerjasama University of Plymouth UK; PenSkills untuk program kemahiran, peningkatan kemahiran, dan pemahiran semula; dan PenPostgrad untuk program Sarjana Sains dalam Logistik Antarabangsa dan Pengurusan Rantaian Bekalan dengan kerjasama University of Plymouth UK.
-- BERNAMA