IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan tabung khas untuk orang ramai memberikan sumbangan ikhlas susulan kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut institusi pendidikan tinggi itu, Isnin lepas.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan memaklumkan sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Majlis Perwakilan Pelajar (RHB Bank: 25807500029702) dan Tabung UPSI Prihatin (Bank Islam: 08068010003264).
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda kasih sayang terhadap keluarga mangsa.
"Hanya dengan kasih sayang dan rasa kemanusiaan sahaja menjadi penguat semangat untuk bersama kami di UPSI yang menghadapi ujian menyedihkan ini," katanya.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka terbalik di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
UPSI turut membuka bilik gerak kerja untuk memantau segala urusan dan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, malah akan memberi bantuan psikologi mangsa kemalangan yang sedang dirawat di hospital.
Sementara itu, Kerajaan Perak menzahirkan penghargaan kepada kepada semua pihak terlibat termasuk pasukan perubatan dan keselamatan yang bertungkus-lumus dalam menangani tragedi berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bermesyuarat hari ini turut merakam penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Hospital Taiping.
Beliau berkata pasukan perubatan berkenaan bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha menyelamatkan nyawa serta memberi rawatan terbaik kepada mangsa.
Saarani juga merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan pasukan keselamatan antaranya polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedaya upaya bertindak pantas demi keselamatan serta kesejahteraan mangsa.
"Tidak dilupakan, Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan kerajaan serta agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan dan memberi sokongan logistik termasuk memudahkan urusan waris dan keluarga mangsa," katanya.
Saarani juga menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan UPSI atas keprihatinan dan tindakan segera dalam mengurus hal ehwal kebajikan pelajar serta waris yang terlibat, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang tampil memberi bantuan dan sokongan.
Beliau berkata peranan dan sumbangan semua pihak telah memungkinkan proses membawa pulang kesemua jenazah mangsa ke kampung halaman masing-masing disempurnakan dengan lancar, penuh tertib dan penghormatan.
"Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini," katanya.
-- BERNAMA