AM

MALAYSIA ANJUR ASEAN WORKSHOP ON SEA LEVEL RISE 2025

11/06/2025 07:57 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) -- Penganjuran ASEAN Workshop on Sea Level Rise 2025 adalah bukti komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan adaptasi perubahan iklim di peringkat Asia Tenggara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam Sekitar) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang berkata program dua hari bermula hari ini dengan bertemakan “ASEAN's Response To Rising Seas: A New Chapter in Climate Adaption” itu adalah antara inisiatif Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025.

Beliau berkata program yang diadakan di Kuala Nerus itu dihadiri kira-kira 100 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk penggubal dasar, pakar, penyelidik dan pengamal iklim dari negara anggota ASEAN.

"Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah bengkel ini sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

"Kepengerusian ini bukan sekadar satu kedudukan simbolik, tetapi juga tanggungjawab serantau dalam menangani cabaran alam sekitar yang merentasi sempadan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Yahati berkata selaku pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga telah meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai asas penting bagi masa depan bersama ASEAN.

Beliau berkata negara anggota ASEAN perlu bertindak bersama dalam menghadapi ancaman paras laut yang meningkat sehingga memberi impak kepada jutaan penduduk di rantau ini.

"Masalah ini adalah cabaran kita bersama… ia juga peluang kita untuk bersama-sama membina masa depan ASEAN yang lebih selamat dan berdaya tahan.

"Melalui dasar yang kukuh, penyelesaian yang inovatif dan kerjasama serantau, kita boleh mengubah cabaran ini menjadi kekuatan bersama," katanya.

Nor Yahati berkata selain NRES, penganjuran bengkel itu turut mendapat kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Kementerian Peralihan Tenaga Transformasi Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Tujuan lain bengkel itu antaranya ialah memberi gambaran penuh mengenai mekanisme saintifik yang menyumbang kepada kenaikan paras laut, memberi kefahaman mendalam tentang cabaran dihadapi serta merintis asas potensi penyelidikan dan pelaksanaan dasar pada masa depan dalam kalangan negara ASEAN," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan