JERTIH, 13 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Amal Komuniti (AMAL) Besut menyedia dan menyelaras lebih 20 ambulans bagi membawa pulang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang dirawat di hospital di Perak ke Terengganu.
Pengerusinya Mohd Azizul Azli Mohd Sani berkata tiga ambulans disediakan oleh AMAL Besut, manakala selebihnya merupakan ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Terengganu, Kedah, Perak dan Kelantan serta syarikat ambulans swasta.
“Sehubungan itu, waris yang memerlukan khidmat ambulans untuk membawa pulang pelajar terbabit boleh menghubungi kami. Kami menyediakan perkhidmatan ini secara percuma kepada semua mangsa tragedi tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Gaung, di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Mohd Azizul Azli berkata setakat ini, pihaknya telah membawa pulang lima pelajar UPSI yang sedang menerima rawatan di Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
-- BERNAMA