AM

PMR PERAK 2025 TAMPIL BAKAT PELAJAR ALUNKAN AYAT SUCI AL-QURAN DALAM ‘BATTLE TARANUM LIVE’

14/06/2025 06:34 PM

LUMUT, 14 Jun (Bernama) --  Dalam kemeriahan dan kehangatan Program MADANI Rakyat 2025 Perak, pengunjung ditenangkan seketika dengan kemerduan alunan ayat suci al-Quran menerusi ‘Battle Taranum Live’ oleh pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM Nursyazrin Nazeemudden berkata seramai tiga pelajar institusi itu menyertai ‘Battle Taranum Live’ yang diadakan julung kalinya di PMR kali ini dengan mengalunkan beberapa kaedah taranum, antaranya hijaz, bayati  dan nahawand.

“Ia (pertandingan taranum)  bagi membawa kelainan dalam menyampaikan mesej berkaitan hal ehwal agama bagi seimbangkan program nilai-nilai seni dan agama selain untuk mengetengahkan bakat pelajar tahfiz di bawah institut pengajian tahfiz milik JAKIM," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemilihan program itu juga selaras dengan PMR 2025 Perak yang bertemakan 'Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI’ untuk mengetengahkan institusi pendidikan di bawah JAKIM termasuk Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), dan Institus Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

“Institut pengajian tinggi pertama milik JAKIM ialah Darul Quran di Kuala Kubu Baru, kita tawarkan pelbagai pengajian di peringkat ijazah dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). 

“IPDAS pula ialah pusat pengajian dakwah bagi melahirkan dai-dai yang dapat meneruskan tugasan dakwah, manakala di Sarawak kita mempunyai institusi kemahiran yang melatih mereka menjadi sukarelawan sosial untuk berkhidmat kepada komuniti,” katanya.

Tidak sahaja menampilkan pertandingan taranum, reruai JAKIM juga menampilkan al-Quran hasil tulisan tangan seorang hafizah (mereka yang hafaz Quran) untuk tatapan para pengunjung. 

Beliau berkata berikutan tularnya sebuah naskah al-Quran tulisan tangan oleh seorang daripada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, menarik perhatian pengunjung untuk mengetahui lebih mendalam usaha yang dilakukan pelajar sebelum layak digelar penghafaz. 

“Penghafaz al-Quran ini lazimnya mereka diberi satu kitab penghafalan untuk mereka tulis bagi mengingati kembali hafazan mereka.

“Kitab itu dinamakan sebagai kitab tahriri, iaitu penulisan yang ditulis oleh para penghafaz, kita bawakan dua contoh untuk orang ramai lihat secara langsung al-Quran berkenaan,” katanya.

PMR 2025 Perak di Lumut Waterfront berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad program dijadualkan berakhir pada 6 petang. Reruai perkhidmatan kerajaan pula akan beroperasi setiap hari hingga 6 petang. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan hari penutupan PMR 2025 Perak pada 12.30 tengah hari esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan