AM

FASA PERTAMA HIMP2030 CAPAI 89.7 PERATUS, SUMBANG RM149 BILION KEPADA KDNK - AHMAD ZAHID

16/06/2025 06:20 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Fasa pertama Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030) yang meliputi tempoh 2023 hingga 2025 telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan kadar pelaksanaan mencecah 89.7 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata sepanjang tempoh itu, industri halal negara menyumbang sebanyak RM149 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala nilai eksport halal negara mencecah RM61.8 bilion.

"Pencapaian ini menjadi petunjuk jelas bahawa hala tuju pembangunan industri halal kita berada pada landasan tepat dan semakin diyakini bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga oleh pasaran antarabangsa," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MPIH Bilangan 1/2025 di sini hari ini.

Mesyuarat yang menghimpunkan wakil daripada 15 kementerian kerajaan Persekutuan serta kerajaan-negeri itu, antara lain menjadi platform penting dalam menyelaras dasar dan tindakan strategik untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama industri halal di peringkat global.

Ahmad Zahid berkata Malaysia terus memperkukuh ekosistem halal melalui pengembangan Halal Parks yang kini berjumlah 14 taman halal strategik melibatkan keluasan 200,000 ekar di seluruh negara, dan setakat suku pertama 2025, Halal Parks merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM3.8 bilion. 

"Ini membuktikan bahawa daya saing ekosistem halal kita terus menjadi tarikan utama dalam landskap pelaburan serantau," katanya.

Susulan itu, Ahmad Zahid menggesa semua kerajaan negeri supaya mengemukakan pelan intervensi khusus bagi memperkasakan taman halal masing-masing, terutamanya yang masih berdepan kadar penyertaan industri yang rendah. 

Seiring dengan hasrat kerajaan untuk melonjakkan nilai pelaburan serta merangsang guna tenaga dalam industri halal, beliau berkata MPIH  memperkenalkan kerangka baharu Taman Industri Halal berstatus HALMAS (Halal Malaysia) yang lebih dinamik dan berpaksikan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). 

Melalui kerangka itu, Malaysia menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM25 bilion dalam sektor halal hingga 2030, disertai inisiatif pembangunan infrastruktur, pemantapan tadbir urus, dan pemerkasaan insentif pelaburan yang lebih kompetitif. 

"Kerajaan juga sedang meneliti penggubalan 'Bill of Guarantees', menawarkan insentif mesra pelabur, menyepadukan perkhidmatan HALMAS ke dalam Portal Sehenti Digital Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta memperkenalkan tanda pengiktirafan khas HALMAS Mark of Excellence sebagai simbol kualiti dan piawaian global," katanya.

Mesyuarat hari ini turut menyaksikan pelancaran inisiatif Women in Halal Industry (WHI), sebuah usaha bersepadu yang bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem halal negara serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pelbagai peringkat rantaian nilai industri. 

Diterajui oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan kerjasama Halal Development Corporation Bhd, ia  bakal memberi ruang lebih luas kepada tenaga wanita untuk terus menyinar dalam sektor berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan