EKONOMI

QHAZANAH SABAH BEKERJASAMA DENGAN BINA INDAH BANGUN PROJEK THE HILL @ DAMAI

16/06/2025 09:38 PM

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Qhazanah Sabah Bhd (QSB) hari ini menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Bina Indah Development Sdn Bhd untuk pembangunan The Hill @ Damai dekat sini.

Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob berkata JDA itu menggariskan pembangunan projek revitalisasi bandar bercampur-campur di atas tanah seluas 5.26 hektar yang terletak bersebelahan Hospital Queen Elizabeth II.

Katanya, The Hill @ Damai akan menjadi pembangunan pertama Sabah yang mengintegrasikan ekosistem perubatan dengan kawasan komersil yang moden dan mewah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar melebihi RM500 juta.

Pembangunan ini akan menjadi hab komersial moden yang menggabungkan projek ekosistem perubatan dengan tawaran gaya hidup kontemporari. Antara ciri-ciri lain, ia juga akan menyediakan lebih daripada 1,500 tempat letak kereta," katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian di Menara Kinabalu di sini hari ini. 

Yusof berkata kerajaan negeri percaya projek ini akan menjana manfaat ekonomi yang signifikan di peringkat makro selain memberikan pendapatan yang besar kepada QSB dan kerajaan negeri.

Yusof dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rudy Janglul menandatangani bagi pihak QSB manakala, Bina Indah Development oleh Pengarahnya, Kenyo Chu serta Pengarah Eksekutif Allison Tey Phing Phing.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe menyaksikan upacara tersebut. 

Selepas siap, The Hill @ Damai dijangka menawarkan lebih dari 500,000 kaki persegi ruang komersial.

Projek yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun itu, dijangka mewujudkan lebih daripada 1,000 pekerjaan dan menarik aktiviti ekonomi yang besar.

Pada acara yang sama, hab perindustrian berskala sederhana yang disahkan halal pertama di Sabah, Taman Perindustrian Halal Q-SME turut dilancarkan. 

Yusof berkata kemudahan itu terletak di zon pensijilan Halal Malaysia (Halmas) di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP). Setakat Mei lepas, pembinaannya adalah 77 peratus lengkap, dengan jangkaan selesai menjelang hujung tahun ini.

Katanya, pembinaan Taman Perindustrian Halal Q-SME yang bermula pada awal 2023 mengandungi 17 unit gudang dengan setiap unit direka untuk menjadi pad pelancaran produk berkualiti tinggi, produk bersijil halal dari Sabah. 

Yusof berkata taman ini mempunyai pusat halal sehenti untuk menyelaraskan proses pensijilan, pengeluaran, pemasaran termasuk eksport, ini akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana yang berfokus pada halal. 

"Terletak secara strategik berhampiran Sabah Ports selain disokong oleh agensi-agensi seperti Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Keagamaan Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Pembangunan Halal, taman itu bersedia untuk meletakkan Sabah sebagai pemain yang semakin terserlah dalam ekosistem eksport halal serantau," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan