AM

KERAJAAN PERLIS HENTI AKTIVITI PENGOPERASIAN KAFE DALAM GUA CENDERAWASIH

16/06/2025 09:54 PM

KANGAR, 16 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perlis memutuskan kerja-kerja pengoperasian kafe dalam Gua Cenderawasih di Bukit Lagi di sini dihentikan terus selepas mengambil kira aspek keselamatan dan pemuliharaan kawasan geotapak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata keputusan itu dicapai hasil lawatan tapak serta Mesyuarat Jawatankuasa Saintifik pada 11 Jun lepas, selain beberapa siri perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), pakar universiti dan agensi berkaitan.

“Struktur binaan dalam gua akan dialihkan sepenuhnya demi menjamin keselamatan pelawat dan melindungi nilai warisan geologi yang ada. Pembinaan hanya dibenarkan di kawasan luar gua ini yang tertakluk kepada kelulusan teknikal dan pematuhan terhadap garis panduan ditetapkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) serta JMG,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 18 Mei lepas, media melaporkan JMG belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun PBT untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau aktiviti pengoperasian kafe dalam Gua Cenderawasih itu.

Dalam laporan media itu, JMG turut memaklumkan Geotapak Bukit Lagi terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul berusia lebih 480 juta tahun dan kaya dengan pelbagai jenis fosil seperti nautiloid, gastropod dan brakiopod. Kawasan itu juga menampilkan ciri geologi unik seperti takik laut purba, gua-gua kecil dan struktur batuan berbentuk cendawan serta tengkorak.

Sebelum itu, media turut melaporkan cadangan pembinaan kafe itu mendapat bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang tindakan berkenaan akan menjejaskan warisan geologi berusia ratusan juta tahun itu.

Abu Bakar berkata pembersihan terhadap kerja-kerja pembinaan kafe itu akan dibuat secara berhati-hati dengan kaedah selamat seperti penggunaan air dan berus khas tanpa merosakkan fosil atau struktur bernilai tinggi yang terdapat dalam gua berkenaan.

“Selain itu, penandaan akan dilaksanakan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai fosil manakala pemetaan terperinci akan dibuat di sekitar geotapak terbabit,” katanya.

Beliau berkata cadangan pembangunan oleh pengusaha kafe berkenaan di luar gua itu boleh dikemukakan semula kepada MPK, namun tiada sebarang struktur kekal dibenarkan dibina dalam kawasan gua.

Abu Bakar berkata kerajaan negeri juga akan mempertingkat kesedaran awam melalui papan tanda larangan dan penglibatan pelbagai pihak termasuk NGO, sekolah serta komuniti setempat untuk bersama-sama memelihara Gua Cenderawasih dan kawasan geopark lain di negeri itu.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak menolak pembangunan, namun ia mesti dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira sensitiviti kawasan geopark yang diiktiraf.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan