KLUANG, 17 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan untuk mendigitalkan kesemua 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) di seluruh negara dalam usaha membudayakan penggunaan teknologi kreatif dalam kalangan anak-anak warga kerja pertahanan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata inisiatif itu selaras dengan Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2023, dengan objektif melahirkan murid fasih digital bagi menghadapi cabaran era teknologi masa kini.
“Inisiatif ini juga akan mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan, memperkukuh infrastruktur dan kandungan digital serta mengoptimumkan penglibatan rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital,” katanya.
Adly berkata demikian selepas melancarkan Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini hari ini.
Sebagai permulaan, tiga SDK dipilih sebagai projek rintis tahun ini, dengan kerjasama strategik KPM dan Affin Bank Berhad melibatkan peruntukan RM94,000.
Dua sekolah terawal yang telah dilaksanakan inisiatif ini ialah SK Kementah dan SK TUDM Subang.
“Kesemua 38 SDK termasuk di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan secara berfasa, bergantung kepada maklum balas dan keberkesanan projek rintis ini,” katanya.
Adly turut menekankan bahawa pendigitalan SDK bukan sahaja bertujuan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP), malah menyokong ekosistem kesejahteraan nasional melalui pembangunan negara MADANI dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
Bagi SK Sultan Sir Ibrahim, kemudahan studio teknologi layar hijau telah dibangunkan bagi membolehkan pelajar dan guru menghasilkan kandungan kreatif serta pembelajaran berasaskan media.
“Semasa majlis ini, kru sekolah turut memberi taklimat mengenai penggunaan layar hijau, teknik penyuntingan video serta pencahayaan. Persembahan rakaman video pendek bertajuk ‘Bicara Pemimpin’ juga dipertontonkan, mempamerkan bakat pelajar terutamanya ahli TV Pusat Sumber Sekolah,” tambahnya.
-- BERNAMA