GUA MUSANG, 17 Jun (Bernama) -- Kira-kira 5,000 pengguna jalan raya berdepan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan akibat keadaan jalan yang rosak teruk di Kampung Bertam Lama di sini, yang berlarutan sejak hampir setahun lepas.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Bertam Lama Mohd Azhri Hasan berkata laluan berkenaan adalah jalan alternatif yang menghubungkan kawasan itu ke Jelawang.
Beliau berkata kerosakan dipercayai berpunca daripada pergerakan lori muatan batu dan pasir untuk kerja-kerja pembinaan dua Projek Mini Hidroelektrik di Dabong, Kuala Krai.
“Setiap hari, kira-kira 100 perjalanan lori membawa bahan binaan ke tapak projek hidroelektrik di Gua Chatak dan Kampung Serasa melalui jalan ini. Laluan ini tidak mampu menampung beban berat, menyebabkan kerosakan serius yang mengancam keselamatan pengguna.
“Penduduk bukan sahaja terpaksa berkongsi laluan dengan lori berat, malah turut berdepan risiko ketika waktu puncak, terutama pada waktu pagi ketika menghantar anak ke sekolah. Keadaan lebih membimbangkan kerana laluan ini digunakan tanpa henti, termasuk pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya kepada pemberita di Kampung Bertam Lama hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memaklumkan isu berkenaan telah dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
“Kami berharap tindakan segera dapat diambil oleh semua pihak berkaitan, termasuk agensi kerajaan dan syarikat terbabit. Penguatkuasaan, pelaksanaan kerja dan pemantauan perlu diberi keutamaan demi menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pembinaan projek mini hidroelektrik itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan kini berada pada tahun pertama pelaksanaan.
Selain itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkaitan kerosakan jalan berkenaan.
“JKR akan melakukan semakan, penelitian dan pelaporan terhadap keadaan jalan,” katanya.
Berikutan itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati keadaan jalan sepanjang 30 kilometer bermula dari Kampung Bertam Lama hingga ke Kampung Sri Mahligai dipenuhi lubang besar, mendapan dan permukaan yang tidak rata.
Beberapa pengguna motosikal juga dilihat cuba mengelak lopak yang dalam, manakala kereta dan kenderaan pacuan empat roda terpaksa memperlahankan kenderaan secara mendadak bagi mengelakkan kerosakan pada tayar dan suspensi.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila laluan itu turut digunakan lori muatan berat yang berulang-alik tanpa henti, menyebabkan debu tebal selain bunyi bising yang turut mengganggu ketenteraman penduduk.
-- BERNAMA