AM

UCAPAN TAKZIAH, PENGHORMATAN KEPADA PALANIVEL, MENGENANG JASA DAN INTEGRITI

17/06/2025 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pemimpin dan rakan terus menyampaikan ucapan takziah dan penghormatan atas pemergian bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel hari ini selain berkongsi kenangan semasa hayat mendiang serta legasinya.

Bekas Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Datuk A. Vaithilingam menyifatkan Palanivel sebagai seorang individu yang mudah didekati dan ringan tulang yang sentiasa bersedia membantu dan membimbing mereka yang memerlukan.

"Sebagai Ahli Parlimen, beliau membantu kami dalam pelbagai cara bagi mencari dana menerusi projek kerajaan. Saya masih ingat pernah menjelaskan kepada beliau bahawa MHS memerlukan sebuah van untuk membantu aktiviti kemasyarakatan, beliau segera melancarkan projek mengumpul dana dan kami berjaya memperoleh van itu dalam masa beberapa bulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengimbas persahabatan dan sumbangan Palanivel, menurutnya walaupun mereka pertama kali bertemu pada suatu acara belia Hindu di Pulau Pinang, hubungan mereka semakin erat apabila Palanivel mula bekerja sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada penghujung 1970-an.

Persahabatan mereka terus kukuh apabila Palanivel berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada mendiang Tun S. Samy Vellu.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Palanivel merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan penjawat awam berdedikasi yang telah berkhidmat untuk negara dengan integriti dan komitmen.

"Sumbangan beliau kepada masyarakat India Malaysia dan negara amnya akan dikenang dengan penuh hormat dan penghargaan,” katanya.

Naib Presiden MIC T. Murugiah menyifatkan Palanivel sebagai seorang lelaki sejati, pemimpin berdedikasi dan ahli politik berprinsip yang secara konsisten menegakkan nilai integriti, kesederhanaan serta menabur khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi kepada komuniti India dan Malaysia.

"Sikap tenang, kebijaksanaan dan gaya kepimpinannya dengan pertuturan yang lembut menyebabkan beliau dihormati di segenap lapisan masyarakat. Palanivel berkhidmat dengan cemerlang sebagai Ahli Parlimen, menteri Kabinet dan sebagai presiden MIC, sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat," katanya sambil menambah bahawa jasa mendiang kepada masyarakat terutamanya dalam pendidikan dan peningkatan sosioekonomi tidak akan dilupakan.

Sementara itu, wartawan veteran dan bekas rakan sekerja Bernama mendiang, Datuk E. Sivabalan berkata bekas pemimpin MIC itu amat komited dalam berkhidmat kepada komunitinya dan hanya menumpukan pada menunaikan tanggungjawab tanpa mencari pengiktirafan atau kemasyhuran.

"Saya masih ingat semasa beliau menjadi menteri Kabinet, beliau berkongsi dengan saya keinginannya untuk saya bekerja dengannya namun bertegas bahawa dia tidak boleh mengambil saya (bekerja) kerana ketika itu saya perlu berada di pihak mendiang Tun Samy Vellu yang merupakan Duta Khas Malaysia ke India (ketika itu),” katanya.

Palanivel meninggal dunia pada 8 pagi hari ini di Hospital Kuala Lumpur pada usia 76 tahun.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, beliau merupakan Presiden MIC Kelapan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Palanivel menyertai MIC pada 1970-an dan kemudiannya berkhidmat sebagai setiausaha kepada Presiden MIC ketika itu, Tun Samy Vellu pada awal 1990-an.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan