AM

DOSM BANGUNKAN INDEKS PENGELUARAN PERTANIAN NEGARA

17/06/2025 07:53 PM

KEPALA BATAS, 17 Jun (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membangunkan statistik Indeks Pengeluaran Pertanian Negara, bagi menyediakan data lebih lengkap sekali gus berupaya menjadi indikator keterjaminan makanan negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata statistik indeks itu dijangka akan diterbitkan setiap suku tahun, seperti statistik sektor lain iaitu perkilangan, elektrik serta perkhidmatan.

“Statistik ini antara lain dapat mengenal pasti pengeluaran pertanian di kawasan mana mencatatkan peningkatan dan data ini dapat dijadikan rujukan serta perkongsian buat agensi lain mengikut kepentingan yang bersesuaian,” katanya.

Mohd Uzir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Pulau Pinang di Institut Latihan Pertanian Bumbong Lima, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol.

Mohd Uzir berkata sektor pertanian seharusnya dipantau secara berkala kerana sangat berkait rapat dengan keperluan asas rakyat, selain perancangan dan penggubalan dasar dapat dibuat lebih tepat dengan menggunakan data yang konsisten serta terkini.

“Sebelum ini, kita mengeluarkan Indeks Pengeluaran Perkilangan, Elektrik dan Perkhidmatan. Tiada (statistik khusus) pertanian dan ketika ini, kita hanya ada (data) pengeluaran kelapa sawit serta padi, namun ia tidak merangkumi secara komprehensif.

“Dengan adanya indeks pengeluaran pertanian, data berkaitan dapat dihasilkan dan dikumpul secara lebih terperinci serta berstruktur,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata sektor pertanian negara mencatatkan nilai jualan RM161 bilion pada 2023 dengan 1.7 juta orang terlibat dalam bidang itu, menunjukkan potensi besar yang mampu dipacu dengan sokongan dasar dan pembangunan teknologi.

Bancian juga mendapati lebih 50 peratus petani merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan mereka terus melakukan aktiviti itu selagi sihat, selain terdapat potensi dalam golongan belia untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor tersebut.

Mengulas data khusus Pulau Pinang, Mohd Uzir berkata walaupun kecil, negeri itu mencatatkan jumlah jualan RM3.5 bilion dalam sektor pertanian dengan sebahagian besar adalah petani individu iaitu 15,491 atau 93.1 peratus manakala baki 1,154 atau 6.9 peratus pegangan pertanian pertubuhan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan