EKONOMI

SEKTOR OGSE SOKONG AGENDA PERALIHAN TENAGA NEGARA - MOGSC

17/06/2025 09:47 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif and Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Negara (OGSE) dijangka akan terus berkembang seiring dengan langkah negara dalam mempercepatkan peralihan tenaganya seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) Syed Saggaf Syed Ahmad berkata sektor OGSE akan kekal relevan memandangkan perkhidmatannya masih diperlukan untuk menyokong projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), meskipun tumpuan kini semakin terarah kepada tenaga bersih.

“Sektor OGSE bersedia untuk menyokong agenda peralihan tenaga negara, dan para pemain industri sudah pun terlibat dalam pembinaan projek CCS Kasawari oleh Petronas,” katanya kepada Bernama selepas sesi panel bertajuk Decarbonising Malaysia di Persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.

Syed Saggaf berkata projek CCS yang sedang berjalan termasuk projek Kasawari di Sarawak masih bergantung kepada ekosistem minyak dan gas (O&G) sedia ada.

“Apabila kita bercakap mengenai peralihan tenaga, ekosistem yang sama iaitu sektor OGSE akan memacunya ke hadapan. Peralihan ini bukan bermaksud kita bermula daripada kosong. Ia perlu dilaksanakan oleh ekosistem sedia ada kerana kita tidak mampu untuk mencipta semula keseluruhan struktur,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saggaf mengakui bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem OGSE berdepan cabaran dalam mengadaptasi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Kira-kira 80 peratus syarikat dalam ekosistem O&G adalah PKS, dan banyak daripada mereka mempunyai tahap kefahaman yang berbeza mengenai amalan kemampanan, sekali gus menyukarkan penyelarasan serta-merta dengan agenda peralihan tenaga, kata beliau.

“MOGSC sedang berusaha untuk memastikan semua pihak memahami perjalanan ESG ini.

“Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Petronas yang mempunyai beberapa program yang boleh dilaksanakan kepada syarikat-syarikat PKS, bagi membantu mereka bergerak secara kolektif dalam perjalanan ESG mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan