Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 17 Jun (Bernama) – Senai Airport City (SAC) telah menarik kira-kira 160 pelabur, dengan jumlah pelaburan komited menghampiri RM8 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City Sdn Bhd Gan Seng Keong berkata pembangunan industri bersepadu seluas 1,099 hektar itu telah dibangunkan sebanyak 50 peratus tanahnya, sekali gus mengubahnya menjadi ekosistem perindustrian yang bertenaga dan pelbagai.
Senai Airport City Sdn Bhd ialah pemaju utama projek itu dan anak syarikat milik penuh MMC Bhd.
SAC kini menjadi pusat bagi sektor-sektor utama seperti kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik maju (AE&E), kenderaan elektrik (EV), penjagaan kesihatan dan sains hayat, serta pusat pengedaran serantau (RDC).
“Baki 50 peratus tanah yang masih belum dibangunkan memberikan peluang besar untuk pelaburan masa depan. Kami menyasarkan untuk memenuhi permintaan pelabur yang semakin meningkat dan memperluaskan jejak industri kami dengan memanfaatkan sumber tanah tambahan dalam MMC Group,” katanya kepada Bernama.
Gan menekankan komitmen SAC untuk memastikan 28,000 peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaburannya memberi manfaat kepada komuniti tempatan, khususnya rakyat Johor.
Bagi menyokong usaha ini, SAC secara aktif bekerjasama dengan institusi tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kolej-kolej vokasional untuk menyediakan latihan kemahiran bersasar selaras dengan industri pertumbuhan tinggi, termasuk AI, AE&E dan sains hayat.
Gan berkata pelabur langsung asing seperti Wiwynn menggaji lebih 80 peratus kakitangan tempatan daripada jumlah tenaga kerja seramai 1,200 orang dan mengutamakan perolehan tempatan. Syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan UTM dan rakan kongsi pendidikan lain untuk membangunkan bakat.
Selain itu, pekerja yang terpilih akan dihantar ke luar negara untuk latihan lanjutan dan pemindahan pengetahuan, memastikan peningkatan kemahiran secara berterusan dan penerapan amalan terbaik global dalam tenaga kerja di Johor.
“Senai Airport City menyokong usaha-usaha ini dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti, menawarkan gaji yang kompetitif dan menggalakkan pertumbuhan kerjaya yang bermakna.
"Melalui peningkatan kemahiran, pengambilan pekerja tempatan dan perkongsian pengetahuan global, kami berhasrat untuk memastikan manfaat jangka panjang, inklusif untuk tenaga kerja Johor dan komuniti yang lebih luas,” katanya.
-- BERNAMA