EKONOMI

TNG DIGITAL LANCAR AKAUN PERNIAGAAN BAGI PERKASAKAN PKS MIKRO, PEKERJA GIG

18/06/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Syarikat teknologi kewangan bersepadu terbesar di Malaysia TNG Digital Sdn Bhd melancarkan Akaun Perniagaan TNG Digital, penyelesaian digital tanpa halangan yang bertujuan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pekerja gig.

Akaun eWallet digital sepenuhnya ini yang tidak memerlukan sebarang bayaran, dokumen fizikal atau baki minimum, dibangunkan untuk membantu komuniti perniagaan tidak formal dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan bagi menguruskan pendapatan, mendigitalisasikan operasi serta mengembangkan perniagaan dengan selamat menggunakan peranti mudah alih.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni.

TNG Digital dalam kenyataan hari ini berkata Akaun Perniagaan ini dihasilkan sebagai penerbit wang elektronik berlesen yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Ia menyasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana, penjaja, peniaga tidak formal dan pekerja gig yang sering terpinggir daripada sistem kewangan konvensional.

Menurut Ni, Akaun Perniagaan ini dibangunkan untuk menangani jurang yang ketara dalam sektor perkhidmatan kewangan bagi perniagaan kecil.

“Walaupun perniagaan mikro dan kecil menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara dan menyokong hampir separuh daripada tenaga kerja negara, ramai lagi yang masih kekurangan akses terhadap alat yang boleh membantu mereka berkembang dan beroperasi dengan berkesan dalam ekonomi digital pada masa ini.

“Dengan Akaun Perniagaan TNG Digital, kami menghapuskan halangan dengan membolehkan pembukaan akaun serta-merta, penerimaan dana secara masa nyata dan pemindahan lancar antara bank dan eWallet -- semuanya dalam ekosistem selamat dan inklusif tanpa sebarang kos,” katanya.

Ni berkata inisiatif ini sejajar dengan misi meluas syarikat itu untuk memudahkan perniagaan dan memberi peluang kepada usahawan tanpa mengira skala untuk berkembang.

Sementara itu, Fuziah dalam ucapannya berkata pelancaran Akaun Perniagaan ini mencerminkan langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan mudah diakses, khususnya bagi komuniti yang sebelum ini terpinggir daripada perkhidmatan digital.

“Ia bukan sekadar mengenai teknologi, ini berkenaan keterangkuman -- memastikan semua individu tanpa mengira saiz perniagaan atau lokasi dapat menyertai dan meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya.

Fuziah turut memuji sokongan TNG Digital terhadap inisiatif kerajaan seperti Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi mempercepat penggunaan digital dalam kalangan peniaga kecil dan luar bandar.

TNG Digital berkata Akaun Perniagaan ini bukan sahaja menawarkan kemudahan pembayaran malah dilengkapi dengan alatan untuk meningkatkan kebolehlihatan dan sesi libat urus pelanggan melalui ciri seperti "Near Me," ganjaran pulangan tunai menerusi GOyang-GOyang dan kempen baucar untuk peniaga.

Ia turut merangkumi ciri keselamatan seperti PIN khas, suis pemati atau kill switch serta perlindungan daripada penipuan 24/7.

Melangkah ke hadapan, TNG Digital bercadang untuk memperluas penawaran dengan menyertakan kemudahan mikro pinjaman, simpanan dan perlindungan khusus untuk pemilik perniagaan kecil.

Layari https://h5-web.tngdigital.com.my/business/business-account/ untuk maklumat lanjut mengenai Akaun Perniagaan TNG Digital.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan