DUNIA

RIBUAN PELARIAN SYRIA PULANG KE TANAH AIR SELEPAS KEJATUHAN ASSAD

19/06/2025 07:46 PM

IDLIB (Syria), 2 Jun (Bernama-Anadolu) -- Selepas bertahun-tahun menanggung penderitaan dan kesusahan di kem pelarian, ribuan rakyat Syria mula pulang ke tanah air susulan keadaan yang semakin aman dan stabil di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jutaan penduduk Syria sebelum ini melarikan diri ke negara jiran bagi mencari perlindungan daripada kemusnahan besar-besaran dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di bawah pemerintahan Assad.

“Kami hidup dalam keadaan yang amat sukar di kem pelarian. Tetapi kini kami bersyukur kerana tanah kami telah dibebaskan,” kata Mohammad Rahmon yang pulang ke kampung halamannya di Kafar Sijnah, selatan wilayah Idlib, selepas enam tahun berada di luar negara.

"Kami tetap akan kembali ke tanah air walaupun ianya musnah."

Walaupun kampung itu musnah teruk akibat serangan rejim, Rahmon tetap berhasrat mendirikan khemah di atas runtuhan rumahnya sebagai tanda kecintaan terhadap negaranya.

Seorang lagi penduduk Kafar Sijnah, Al-Rezzaq Mohammed, berkata mereka mengalami penderitaan yang teruk di kem pelarian sejak melarikan diri dari Syria pada 2019.

“Kami menderita akibat cuaca yang ekstrem dan kekurangan infrastruktur asas,” katanya.

“Sekarang kami kembali ke kampung walaupun ia musnah, kerana esukar mana pun kehidupan di kampung, ia lebih bermaruah daripada hidup sebagai pelarian,” tambahnya.

Mohammed berkata semua rumah di kampung itu musnah — sebahagiannya akibat serangan dan pengeboman, manakala yang lain pula rosak akibat rompakan dan kemusnahan disengajakan.

“Namun, nikmat dan kegembiraan dapat pulang ke tanah air mengatasi kesedihan akibat kemusnahan yang berlaku,” katanya lagi.

Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember lepas sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.

Ahmad al-Sharaa yang mengetuai pasukan antirejim dalam usaha menggulingkan Assad, telah diisytiharkan sebagai presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan