AM

GST BELUM SESUAI DILAKSANAKAN KERANA PENDAPATAN RAKYAT MASIH RENDAH - PM ANWAR

20/06/2025 11:05 AM

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai dilaksanakan semula berikutan nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak menolak sepenuhnya cadangan pelaksanaan semula GST yang juga sistem percukaian efisien dan telus, namun lebih mengutamakan kemampuan rakyat berikutan sistem percukaiannya memberi kesan secara menyeluruh.

“Kita tangguhkan (GST) kerana nilai (ambang) pendapatan rakyat itu terlalu rendah. Pendapat saya kerana kerana orang yang pendapatan RM2,000, walaupun diberi beberapa pengecualian pun, namun banyak yang terkena (cukai).

"Gula, beras tidak kena tetapi pembelian barang lain atau menaiki bas bagi tujuan itu secara tidak langsung (dikenakan) GST...ini bermakna ia secara menyeluruh," kata beliau ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini. 

Atas alasan itu, Anwar berkata kerajaan berpendapat pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila purata pendapatan rakyat meningkat ke tahap lebih munasabah iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Biarlah pendapatan rakyat naik dulu...katakanlah gaji minimum RM4,000 (sebulan) dan mungkin boleh dilaksanakan pada masa itu.

“(Namun) sekarang gaji RM1,700 (dan) RM2,000 pun ada. Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ini, tetapi niat saya adalah tidak mahu perkenalkan cukai yang memberi kesan menyusahkan rakyat bawahan... itu sahaja,” kata beliau.

Berdasarkan pandangan itu, Anwar berkata kerajaan memilih untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih bersasar dengan pendapatan daripadanya akan dimanfaatkan untuk meningkatkan peruntukan kepada sektor utama negara seperti pendidikan dan kesihatan.

“Ini alasan kita...kita ambil cukai ini untuk pulangkan semula kepada rakyat. Peruntukan Kementerian Pendidikan daripada RM58 bilion pada 2024 meningkat kepada RM64 bilion tahun ini.

“Begitu juga Kementerian Kesihatan daripada RM41 bilion pada tahun lepas, kita tambah RM4 bilion setahun kepada RM45 bilion” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk memperkukuh sektor-sektor kritikal dan memastikan pengurusan yang telus serta berkesan, malah sebarang keputusan dasar fiskal negara, termasuk pelaksanaan cukai, perlu dilihat dari sudut makro dan bukan sekadar kesan jangka pendek. 

Pada masa sama, beliau mengakui kelemahan kerajaan dari segi aspek komunikasi atau penyampaian dasar kepada rakyat dan menggesa semua pihak untuk memberi penjelasan lebih aktif mengenai pelaksanaan polisi bagi mengelakkan kekeliruan dan tohmahan tidak berasas.

“Saya harap rakan-rakan (dalam kerajaan juga) tolong jelaskan. Kadang-kadang kita ‘defensive’ (bertahan), kita biar sahaja orang menyerang dan kita tidak jawab.

“Kelemahan kita juga mengenai usaha menjelaskan (dasar) kerana kita mengandaikan semua orang faham,” kata Anwar.

GST diperkenalkan di Malaysia pada 1 April, 2015 yang menjadi sebahagian daripada reformasi fiskal untuk menggantikan SST dengan kadar permulaan enam peratus yang dikenakan secara menyeluruh ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan GST mendapat kritikan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana dilihat sebagai membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.

Sistem percukaian itu telah dimansuhkan pada 1 Sept, 2018 dan digantikan semula dengan SST.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat secara .

Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting atau mengikut budi bicara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan