EKONOMI

EPIC OPTIMIS PROSPEK TAHUN KEWANGAN 2025 MESKI BERDEPAN CABARAN DALAM INDUSTRI MINYAK & GAS

20/06/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) kekal optimis terhadap prospek tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 meskipun beroperasi dalam persekitaran industri minyak dan gas yang mencabar ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Dr Muhtar Suhaili berkata kumpulan merancang pertumbuhan strategik melalui peningkatan kecekapan operasi, pelaksanaan pendigitalan, serta kerjasama serantau.

“Momentum yang dijana daripada inisiatif terkini, ditambah dengan pelancaran beberapa projek utama yang akan datang, meletakkan EPIC di landasan kukuh untuk mencapai sasaran kewangan sambil terus komited terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Perkara ini turut didukung oleh pertumbuhan stabil dalam segmen teras perniagaan seperti operasi pelabuhan, perkhidmatan marin, pangkalan sokongan, dan tenaga boleh baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan Mesyuarat Agung Tahunan EPIC ke-44 yang dipengerusikan oleh Pengarah Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang mewakili Pengerusi merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

EPIC berkata dengan hala tuju strategik yang jelas, asas perniagaan yang kukuh serta fokus berterusan terhadap penciptaan nilai, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang baharu dalam sektor tenaga dan perindustrian.

Bagi meneruskan momentum semasa, EPIC menetapkan sasaran kewangan yang lebih tinggi untuk tahun kewangan 2025, disokong oleh beberapa perkembangan penting, termasuk kejayaan memperoleh dua kontrak utama daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM403.8 juta bagi tahun kewangan 2024, peningkatan 17.4 peratus daripada RM344.0 juta pada tahun kewangan 2023, menunjukkan keupayaannya untuk mengemudi dinamik industri yang sentiasa berubah sambil mengekalkan asas perniagaan yang kukuh.

“Antara pencapaian ketara adalah keuntungan selepas cukai kumpulan yang hampir dua kali ganda kepada RM16.6 juta, berbanding RM8.9 juta pada tahun sebelumnya.

“Prestasi cemerlang ini didorong oleh peningkatan produktiviti dan pengurusan kos yang berhemat di seluruh anak syarikat kumpulan,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan