PASIR SALAK, 20 Jun (Bernama) -- Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) terbukti mampu meningkatkan taraf ekonomi peserta termasuk di kawasan kampung dan pedalaman, kata Pegawai Khas Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah Khairul Azwan Harun.
Beliau berkata bermodalkan geran kerajaan sebanyak RM100,000 bagi menternak ikan keli dalam kanvas di bawah inisiatif SejaTI MADANI, komuniti di Kampung Makmur dekat Kampung Gajah di sini melakar satu lagi kejayaan menerusi penghasilan produk hiliran ikan keli.
"Mereka kini mempunyai tiga produk hiliran utama iaitu bebola dan kek ikan keli serta filet ikan keli herba bawang putih mentega yang dihasilkan sepenuhnya oleh peserta SejaTi MADANI Kampung Makmur.
"Selain keuntungan hasil ternakan, projek ini juga mampu menambah pendapatan penduduk setempat melalui penghasilan produk hiliran," katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Produk Hiliran Program SejaTi MADANI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Makmur di Kolej Komuniti Pasir Salak di sini hari ini.
Sementara itu, Khairul Azwan berkata penerima dana SejaTI MADANI diingatkan supaya sentiasa memastikan peruntukan yang diterima memberi kesan positif kepada penduduk di kawasan berkenaan.
"Peserta perlu sedar bahawa penganjuran program SejaTI MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah untuk membantu masyarakat mengembangkan ekonomi mereka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Makmur Muhammad Fauzi Ahmad Shaharudin berkata pelancaran produk hiliran itu hasil kesinambungan projek ternakan ikan keli yang diusahakan sejak September lepas.
"Sebanyak 17 peserta daripada ahli JPKK telah menyertai latihan intensif di Kolej Komuniti Pasir Salak pada 21 Mei hingga 12 Jun dengan mereka didedahkan kepada pelbagai teknik menghasilkan filet, kek dan bebola ikan keli," katanya.
Beliau berkata peserta juga menerima latihan dalam bidang pembungkusan, label, pemasaran digital termasuk pengurusan akaun bagi memastikan mereka mampu mengurus dan memasarkan perniagaan.
-- BERNAMA