AM

OPS KHAS JISA UNTUK AUDIT 500 SYARIKAT PENGENDALI SYARIKAT BAS, LORI MULAI ISNIN INI - JPJ

20/06/2025 09:15 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) Berisiko Tinggi melalui Ops Khas JISA di seluruh negara, bermula Isnin ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi itu, dibuat selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk menyiasat syarikat pengendali KPA dan KPB, untuk mematuhi proses audit ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau berkata fokus utama operasi adalah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.

“Penguatkuasaan Ops Khas JISA melibatkan pelaksanaan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan, yang memfokuskan kepada pematuhan kod tata amalan industri (ICOP) berkenaan keselamatan dalam industri pengangkutan.

“Selain itu, semakan dan penyelesaian tertunggak pemilik kenderaan dan pemandu, serta pematuhan kepada Pelan Teknikal Kenderaan,” katanya pada sidang media selepasa merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Aedy Fadly menegaskan tindakan tersebut dilaksanakan susulan kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku kebelakangan ini, termasuk nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti senarai syarikat terlibat yang diperoleh daripada APAD dan juga senarai JPJ melalui semakan saman tertunggak.

“Berdasarkan statistik, JPJ telah mengenal pasti kategori syarikat pengendali yang berisiko tinggi iaitu membabitkan 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres,” katanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pengendali yang didapati melanggar peraturan atau mengabaikan aspek keselamatan termasuk mengeluarkan notis kesalahan, penggantungan atau pembatalan lesen memandu vokasional (PSV/GDL) atau lesen pengendali syarikat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan