DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA DIDAGANGKAN TINGGI MINGGU DEPAN

21/06/2025 10:08 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman and K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka akan menjadi lebih tinggi minggu depan selepas dipacu oleh pengukuhan dalam harga minyak soya dan minyak mentah.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata sentimen kenaikan harga di pasaran minyak yang boleh dimakan global, terutamanya pergerakan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), dijangka memberi sokongan kepada MSM tempatan pada minggu yang akan datang.

“Pada masa yang sama, harga minyak mentah yang lebih kukuh dapat mengangkat permintaan minyak sawit, terutamanya dalam segmen biodiesel, memandangkan hubungan rapat antara harga tenaga dan penggunaan biobahan api.

“Ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, terutamanya antara Iran dan Israel, turut menyumbang kepada kenaikan harga minyak mentah, ini telah memberi sokongan tambahan kepada MSM melalui saluran biobahan api,” katanya kepada Bernama.

Penanda aras kontrak MSM dijangka didagangkan dalam lingkungan RM4,050 sehingga RM4,250 satu tan menjelang minggu depan.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata arah pasaran kekal tidak menentu ketika ini dan ia bergantung kepada data eksport yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Peserta pasaran akan memantau angka pengeluaran Malaysia yang akan dilaporkan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia untuk 20 hari pertama Jun bagi menilai prestasi pengeluaran pada bulan tersebut berikutan tiga bulan sebelumnya yang mantap,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, Julai 2025 meningkat RM146 kepada RM4,071 satu tan, manakala Ogos 2025 memperoleh RM180 kepada RM4,107 satu tan, September 2025 menokok RM196 kepada RM4,118 satu tan, Oktober 2025 menambah RM201 kepada RM4,115 satu tan, November 2025 melonjak RM208 kepada RM4,118 satu tan dan Disember 2025 bertambah sebanyak RM209 kepada RM4,126 satu tan. 

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 401,206 lot berbanding 339,415 lot yang dicatatkan pada minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 231,757 kontrak daripada 244,432 kontrak. 

 Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan naik RM160 kepada RM4,120 satu tan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan