JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN PASANGAN KEKASIH DISYAKI TERLIBAT TUJUH KES PECAH RUMAH DAN SAMUN

21/06/2025 12:40 PM

MELAKA, 21 Jun (Bernama) -- Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki terlibat dalam tujuh kes jenayah pecah rumah dan samun di dalam serta luar Melaka sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pasangan lelaki dan perempuan masing-masing berusia 24 dan 31 tahun itu, yang tidak bekerja, ditahan di Kuala Kurau, Perak pada 4 Jun lepas.

“Pada 28 Mei lepas, polis menerima dua laporan berhubung kes pecah rumah dan samun melibatkan rantai emas di daerah Melaka Tengah yang dipercayai dilakukan pasangan itu.

“Modus operandi mereka ialah menyasarkan rumah inap dan mencuri pelbagai barangan elektrik serta perabot di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan kekasih berkenaan terlibat dalam kes pecah rumah dan samun masing-masing tiga kes di Melaka Tengah dan empat kes di Kuala Lumpur dan Selangor.

Christopher berkata polis turut merampas pelbagai barangan termasuk peralatan elektrik, perabot rumah, seutas rantai tangan emas, dua kereta, lima resit pajak gadai serta lima telefon bimbit.

Beliau berkata, siasatan terperinci masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang peniaga pakaian ditahan kerana disyaki melepaskan tembakan menggunakan pistol angin di Jalan Johor, Semabok pada 8 Jun lepas.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Puchong, Selangor pada 17 Jun.

“Polis turut merampas sebuah beg berwarna hitam, sepucuk pistol angin berwarna perak hitam berjenama 'Pietro Beretta Gardone V.T.', satu unit speed loader dan 30 butir bebola besi (ball bearing),” katanya.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan