POLITIK

UMNO PERLU BENTUK PASUKAN MANTAP HADAPI PRU 16 - JOHARI

21/06/2025 03:38 PM

KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- UMNO perlu mula membentuk pasukan yang mantap di setiap bahagian bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penting untuk mengenal pasti individu yang benar-benar mampu menjalankan tugas selain mempunyai semangat, gerak kerja dan kefahaman yang sama bagi mmebolehkan parti mengatur strategi dengan lebih baik.

“Selalunya kalau kita tidak latih dari sekarang, apabila tiba pilihan raya, masa itulah kita gagal memahami antara satu sama lain sebagai satu pasukan. Maka timbullah isu seperti tidak keluar rumah, enggan buat kerja dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2025 di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata hampir 40 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda pada PRU akan datang, justeru, perhatian perlu diberikan kepada kumpulan berkenaan dalam perancangan kempen parti.

Beliau berkata terdapat tiga kumpulan pengundi muda iaitu mereka yang baru tamat persekolahan, sedang belajar di universiti dengan pemikiran berbeza dan mereka yang sudah tamat pengajian universiti, bekerja serta membina keluarga.

“Tiap-tiap tahun kita ada pengundi baharu berumur 18 tahun. Angka ini akan terus bertambah.

“Jika kita hendak mengembalikan kuasa UMNO di kawasan bertanding, ia mesti dilakukan dengan pasukan yang berfungsi, agar dapat membina semula negara ini dengan kepimpinan berwawasan yang memenuhi citara rasa anak muda,” katanya.

Johari pada masa sama turut menyeru ahli UMNO untuk terus mengamalkan politik matang dan mengelak daripada bertikam lidah dengan parti lawan.

“Lawanlah dalam semangat politik dan apabila pilihan raya berakhir, selesailah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO, terutama wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen untuk mendekati pengundi tanpa mengira latar belakang.

"Selagi mana mereka datang berjumpa dan meminta pertolongan, UMNO perlu membantu tanpa mengira latar belakang parti. Mereka bukan pemimpin, sebaliknya pengikut dan pengundi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan