AM

KARNIVAL PSH BAKAL JADI ACARA TAHUNAN KOLEJ KOMUNITI PASIR MAS

21/06/2025 07:13 PM

KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Kolej Komuniti Pasir Mas akan menjadikan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dianjurkan hari ini sebagai acara tahunannya dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi setempat menerusi pendidikan dan latihan.

Pengarahnya, Fathuddin Aizat Che Mohd Ariff berkata ia susulan karnival itu mendapat penyertaan aktif komuniti setempat merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu tunggal.

Beliau berkata program itu dilaksanakan sempena Minggu Latihan Kebangsaan hasil kerjasama strategik bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia, sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh budaya PSH ke arah mencapai aspirasi Malaysia MADANI.

"Lima kursus kemahiran jangka pendek telah ditawarkan sepanjang karnival berlangsung di kampus Kolej Komuniti Pasir Mas, iaitu kursus penghasilan pastri lapis (puff pastry), pengenalan aplikasi Canva, penghasilan sabun pencuci pakaian, kursus penjagaan dan rawatan wajah selain kursus penghasilan jambak bunga (surprise bouquet).

“Program berkenaan berjaya menarik penyertaan komuniti setempat termasuk golongan belia, suri rumah dan ibu tunggal yang hadir untuk menimba ilmu baharu secara praktikal dan interaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fathuddin Aizat berkata penganjuran karnival itu merupakan bukti komitmen Kolej Komuniti Pasir Mas dalam mendekatkan institusi pendidikan dengan masyarakat. 

"Kami percaya bahawa ilmu dan kemahiran harus dapat diakses oleh semua tanpa mengira umur atau latar belakang. 

“Melalui pendekatan yang inklusif dan fleksibel, kami berhasrat untuk menjadikan Kolej Komuniti sebagai pusat kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat di daerah ini," katanya.

 Beliau berkata sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta menunjukkan masyarakat kini semakin sedar akan keperluan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam dunia yang sentiasa berubah dan mencabar.

Menurutnya penganjuran karnival itu juga selaras dengan matlamat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam memperkukuh peranan Kolej Komuniti sebagai agen pemangkin pembangunan modal insan dan transformasi ilmu di peringkat akar umbi.

"Kita bercadang menjadikan program seumpama ini sebagai acara tahunan berimpak tinggi yang mampu memperluas jaringan kerjasama strategik bersama komuniti, industri dan agensi berkaitan serta menyokong pembangunan sosioekonomi setempat melalui pendidikan dan latihan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan