KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 melabuhkan tirainya hari ini selepas tiga hari perbincangan penuh bermakna, dengan pengumuman 27 resolusi komprehensif yang bertujuan mempercepat kepimpinan wanita dan pertumbuhan ekonomi inklusif di rantau ASEAN dan lebih lagi.
Presiden WEF ASEAN 2025 Dr Hartini Osman berkata resolusi itu, merupakan pelan tindakan berani dan praktikal bagi negara-negara ASEAN dalam memperkasakan wanita melalui kepimpinan yang disasarkan, pendidikan, inovasi serta pengintegrasian dasar.
“Hasil forum ini amat penting dalam merealisasikan aspirasi wanita di seluruh ASEAN dan pada peringkat global, untuk terus memperjuangkan pemerkasaan, memberikan suara kepada golongan yang sering tidak didengari dan membawa mandat kolektif ke hadapan.
“Kesemua resolusi ini akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan menteri-menteri berkaitan bagi menyokong pembangunan dasar berteraskan gender yang inklusif, berkesan dan benar-benar memenuhi keperluan wanita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup forum yang berlangsung di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini hari ini.
Forum bertemakan Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy, itu bermula pada 19 Jun dan telah dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, bersama Pengasas dan Presiden WEF Dr Harbeen Arora Rai.
Majlis penutup WEF ASEAN 2025 turut menyaksikan penyerahan rasmi resolusi WEF ASEAN 2025 kepada Dr Harbeen serta penyerahan secara simbolik baton oleh Hartini kepada Filipina, yang akan menjadi tuan rumah kepada forum WEF itu pada Oktober 2026.
Hartini berkata resolusi itu digubal berdasarkan empat dimensi utama iaitu Inner Power yang memfokuskan kepada pemerkasaan dalaman wanita melalui pendidikan kepimpinan dan inovasi, manakala dimensi kedua iaitu Inclusion, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan lestari.
Dimensi ketiga Integration, menekankan integrasi budaya, digital dan dasar bagi pertumbuhan Sheconomy dan dimensi keempat pula Innovation yang menyeru kepada peningkatan keterhubungan global dan keterlihatan Sheconomy dalam era pascanormal.
Forum edisi kali ini menghimpunkan 614 peserta daripada 33 negara itu, disokong empat ahli lembaga penasihat, sembilan penasihat ASEAN dan tiga kementerian utama iaitu MITI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.
Program berimpak tinggi itu menampilkan 24 sesi selari, 10 sesi perbincangan pleno, enam bengkel, sembilan sesi meja bulat dan empat sesi dialog firechat, yang disokong empat speaker utama, 29 modetaror dan 20 ahli sekretariat penganjur.
Sementara itu ketika berucap pada majlis penutup Noraini berkata forum itu menjadi bukti mengenai apa yang mampu dicapai apabila matlamat bersama digandingkan dengan tindakan tegas dan apabila wanita bersatu merentasi sempadan untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif.
“Forum ini mencetuskan inspirasi dan menyediakan pelan tindakan untuk kerjasama jangka panjang. Idea-idea yang dilahirkan di sini, jika terus dipupuk dan dibawa ke hadapan, berpotensi membentuk dasar, mempengaruhi pasaran, dan mentakrifkan semula kepimpinan inklusif di ASEAN dan peringkat global,” katanya.
Beliau berkata forum itu juga mengakui bahawa idea berani sering hadir bersama cabaran, termasuk kerumitan, kekangan sumber, penolakan terhadap perubahan, proses pembelajaran yang mendalam dan keperluan masa untuk menguji serta menambah baik cadangan.
“Marilah kita perbaharui komitmen terhadap tadbir urus baik, yang menjadi asas utama kepada agenda antara generasi berimpak tinggi. Ketika kita beralih daripada perbincangan kepada pelaksanaan, prinsip ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan menjadi semakin penting,” katanya.
Noraini turut menzahirkan keyakinan bahawa hasil forum ini akan diterjemahkan kepada tindakan nyata dan boleh diukur melalui pelaksanaan dasar yang mantap, perusahaan inovatif, usaha komuniti dan kerjasama yang bermakna.
-- BERNAMA