AM

TUJUH BELAS ANAK PULAU PINANG TERBAIK, TERIMA ANUGERAH ANTARABANGSA INPENANG 2025

21/06/2025 10:40 PM

GEORGE TOWN, 21 Jun (Bernama) -- Anugerah Antarabangsa INPenang 2025 yang berlangsung malam ini, memberikan penghormatan kepada 17 individu anak Pulau Pinang dan organisasi negeri atas pencapaian cemerlang dalam industri masing-masing serta menyumbang kepada masyarakat.

Majlis anugerah antarabangsa yang diadakan dua tahun sekali itu, mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai kategori dan pada tahun ini Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat INPenang dianugerahkan kepada Presiden Persatuan Peruncit Malaysia Datuk Andrew Lim Tatt Keong yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan bagi GIANT, Mercato, TMC dan GAMA.

Antara penerima Anugerah Kebangsaan INPenang termasuklah Dr Mary CH Quah bagi Kepimpinan Wanita, Dr Kenny Loh (Pereka Fesyen Budaya Terunggul), Muzium Wonderfood Penang (Pengalaman Pelancongan Terbaik), Sunway Carnival Mall (Pusat Beli-belah Terbaik) dan Ghee Hiang Manufacturing Co Sdn Bhd sebagai Jenama Warisan Terbaik.

Sementara itu, lima individu telah diberi penghormatan dengan Anugerah Pencapaian Cemerlang Antarabangsa, iaitu Bekas Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang Datuk Raschada Jiwalai; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Komersial Myanmar Airways International dan Mingalar, Tanes Kumar; Pengerusi Kehormat dan Pengarah Bukan Eksekutif Value Partners Group Hong Kong Datuk Seri Cheah Cheng Hye; Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long; dan Pengarah dan Ketua Pengarang The Smart Investor Cheah Chay Tiong.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang merasmikan dan menyampaikan anugerah tersebut, memuji para penerima kerana mengharumkan nama Pulau Pinang pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kisah di sebalik setiap penerima anugerah malam ini, bukti mengenai apa yang boleh dicapai apabila semangat disertai dengan tujuan yang jelas. Sama ada dalam bidang perniagaan, seni, isu sosial atau inovasi, individu dan organisasi ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah turut menyumbang secara bermakna kepada kebaikan bersama.

“Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya berasa bangga melihat bagaimana Pulau Pinang terus menjadi hab bakat dan kepimpinan yang berpandangan jauh,” katanya di majlis itu.

Selain itu, dré Coklat Sdn Bhd, Space Ace Elite Sdn Bhd dan Alan Lim Hin Loong bersama Catherine Lee Siow Mei (Fusion), telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Usahawan Baharu INPenang, sebagai pengiktirafan terhadap usaha niaga inovatif dan kejayaan keusahawanan mereka.

Antara acara kemuncak malam ini ialah kemunculan “Baby Hawke”, sebuah robot kecil yang dikuasakan oleh penyedia penyelesaian automasi industri Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik terkemuka UB GROUP, yang menyampaikan trofi kepada para pemenang di atas pentas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan