KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Yoga terus menjadi jambatan penting dalam merapatkan hubungan kebudayaan antara Malaysia dengan India serta penglibatan belia, apabila lebih 1,200 peserta menyertai sambutan Hari Yoga Antarabangsa (IDY) 2025 ke-11 di Batu Caves, di sini semalam.
Acara di bawah tema "Yoga untuk Satu Bumi, Satu Kesihatan" itu dianjurkan bersama Suruhanjaya Tinggi India di sini dan Netaji Subhas Chandra Bose Indian Cultural Centre (NSCBICC) dengan kerjasama beberapa rakan organisasi di Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy berkata mesej perpaduan dan keseimbangan dalaman melalui yoga semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur.
"Yoga di negara ini semakin popular merentas kumpulan usia, serta persepaduan yang lebih luas dalam program kesejahteraan, fizikal dan kesihatan mental," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Acara itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr K. Nagulendran.
Sesi yoga selama 40 minit berdasarkan Common Yoga Protocol (CYP) itu, dikendalikan oleh pengajar terlatih dengan demonstrasi postur yoga (asanas) yang mendapat sambutan baik daripada peserta.
IDY disambut pada 21 Jun setiap tahun selepas diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2014, sebagai pengiktirafan terhadap tarikan sejagat dan manfaat senaman berkenaan untuk fizikal dan kesejahteraan mental.
Tahun ini menandakan edisi ke-11, berpaksikan amalan purba India yang terus meraih populariti di seluruh dunia.
Sementara itu, dalam acara berasingan, Sakthi School of Yoga mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya menghimpukan 5,368 peserta dalam acara IDY yang berlangsung di MAEPS, Serdang semalam.
-- BERNAMA