AM

439 PASUKAN SERTAI KEJOHANAN MALAYSIA FIRA ROBOWORLD CUP 2025

22/06/2025 04:14 PM

JASIN, 22 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,613 peserta daripada 439 pasukan menyertai kejohanan Malaysia FIRA Roboworld Cup 2025 ke-18 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun ini di Politeknik Merlimau Melaka (PMM), di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah berkata kejohanan itu membabitkan 124 institusi di seluruh negara termasuk 64 politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), 12 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta 48 penyertaan daripada pihak sekolah.

“Acara ini merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan penyelesaian kreatif melalui projek inovasi robotik berimpak tinggi dan ia memperlihatkan usaha kita sedang membentuk generasi pencipta dan bukan sekadar pengguna teknologi.

“Acara ini juga bakal menyaksikan pertarungan inovasi dalam bidang robotik yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini," katanya ketika berucap merasmikan kejohanan itu malam tadi.  

Mengulas lanjut, Shamsuri berkata sebanyak sembilan kategori utama dipertandingkan, iaitu Simurosot, AiBot, HuroCup, MyBot Youth, Robosot, Androsot, Air Drone, Business & Innovation dan Autonomous Car Challenge, merangkumi 25 subkategori serta lima kategori sisipan.

Kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Korea, China, Bangladesh, India dan Sudan sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama global dalam bidang robotik sejajar komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan JPPKK.

Juara bagi setiap kategori akan diberikan penghormatan mewakili Malaysia ke FIRA Roboworld Cup 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kanada.

Antara aktiviti sampingan sepanjang kejohanan ialah RC Air, SumoRobot, Mini RC Soccer, Drone Soccer, FIRA Youth Robotics Symposium 2025 serta Karnival Keusahawanan dan Kelestarian Program.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan