AM

KKDW TUBUH JAWATANKUASA KHAS PANTAU PROJEK PEMBANGUNAN LUAR BANDAR SARAWAK

22/06/2025 05:03 PM

BETONG, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelaras Projek yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas kementerian mendapati terdapat kelewatan serta isu teknikal yang menjejaskan pelaksanaan beberapa projek termasuk masalah berkaitan status tanah.

"Penubuhan jawatankuasa itu hasil keputusan mesyuarat KKDW sendiri apabila kita dapati beberapa projek menghadapi masalah pelaksanaan terutama dari segi pemilikan atau status tanah yang belum diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau di Rumah Rengan, Saratok, hari ini.

Ahmad Zahid berkata penyelarasan antara agensi persekutuan dan negeri amat penting bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek berkenaan khususnya yang melibatkan peruntukan di bawah RM50 juta.

"Seperti yang diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek bernilai bawah RM50 juta akan diserahkan pelaksanaannya kepada kerajaan negeri.

"Ini memerlukan penyelarasan yang rapi dan kita di KKDW akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaannya," jelas beliau. 

Ahmad Zahid berkata di bawah jawatankuasa itu skop pelaksanaan projek di Sarawak yang ketika ini tidak dapat diubah berikutan beberapa kekangan boleh dilakukan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 kelak.

"Buat masa ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, walaupun kita mempunyai beberapa kekangan untuk menukar skop itu tetapi tidak mustahil ke dalam Rancangan Malaysia ke-13 nanti kalau kita dapat membincangkan dengan terperinci pelaksanaan bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan," jelas beliau.

Mengulas pembangunan infrastruktur di Sarawak, beliau memuji inisiatif kerajaan negeri dalam pembinaan jalan pesisir yang bukan sahaja menyambung laluan ke Lebuhraya Pan Borneo, malah memainkan peranan penting menghubungkan rumah panjang dan kampung tradisional.

"Antara bidang tugas jawatankuasa penyelarasan itu adalah membina jalan menghubungkan rumah panjang dan kampung tradisional supaya kita tidak menghadapi apa yang disebutkan sebagai ‘denial syndrome’ oleh pelbagai pihak, tetapi sebaiknya demi kepentingan rakyat kita lakukan penyelarasan ini. 

“Ini juga sebahagian daripada tanggungjawab KKDW dan inilah peranan utama jawatankuasa penyelarasan, iaitu bagi mengelakkan wujudnya ‘denial syndrome’ dalam kalangan pihak berkepentingan,” katanya.

Penyelarasan berkesan akan memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Sementara itu, pembinaan jalan berkenaan melibatkan kerja naik taraf jalan utama sedia ada yang menghubungkan Kampung Kupang dan Simpang Jalan Bajau, daripada jalan batu kelikir kepada jalan berturap mengikut Standard JKRR2, dianggarkan sepanjang 16.9 kilometer.

Ia turut melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan penghubung sedia ada ke Standard JKRR1 yang menuju ke sekolah dan rumah panjang, iaitu Jalan Cabang 1 ke SK Sungai Entebu sepanjang 86 meter, Jalan Cabang 2 ke Rumah Anau sepanjang 100 meter dan Jalan Cabang 3 ke Rumah Lakon sepanjang 1,175 meter.

Kerja-kerja naik taraf berkenaan itu turut melibatkan Jalan Cabang 4 ke Rumah Rabiah sepanjang 1,646 meter, pembinaan lima jambatan konkrit bertetulang, sistem saliran, pembentung, turapan jalan dan bahu jalan serta pemasangan tanda jalan serta perabot jalan.

Projek yang bermula Januari lepad dengan kos RM112.9 juta itu dijangka siap pada 14 Sept 2027.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan