JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Dalam benak Aiman Abdullah, 23, kunjungan ke premis kitar semula di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai semalam adalah semata-mata untuk membeli tangki tadahan air terpakai bagi keperluan syarikat tempat beliau bekerja.
Membawa lori satu tan milik syarikatnya yang masih baharu dan belum pun berusia setahun, Aiman bagaimanapun tidak menyangka ia akan menjadi hari paling 'mengerikan' baginya,
Beliau terpaksa berlari menyelamatkan diri, meredah laluan tikus ke kawasan pembinaan berdekatan apabila kebakaran besar berlaku di premis kitar semula itu yang terletak berdekatan stor minyak enjin.
Menurut Aiman beliau melihat kebakaran berlaku pada kira-kira 12.30 tengah hari dari kawasan stor yang menempatkan ratusan tong dan gelen minyak enjin.
“Masa itu saya sangat panik sebab saya macam terperangkap, nak bawa lori keluar dari pintu utama tak selamat, bomba pun tak bagi sebab bahaya, kemudian saya berlari ikut laluan kecil berhampiran kira-kira 100 meter tembus ke tapak pembinaan berhampiran," katanya yang masih terkesan dengan insiden itu ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.
Aiman sempat memarkir di kawasan agak jauh sambil berharap kenderaan itu akan selamat namun harapannya musnah apabila api menjalar laju disebabkan minyak enjin yang mengalir ke tempat letak lori tersebut.
Lori itu hangus dijilat api dan yang tinggal hanyalah rangka besi hitam sebagai saksi tragedi itu.
Menurut bomba kebakaran melibatkan lima premis iaitu stor simpanan minyak hitam terpakai, premis kitar semula, premis membuat sabun, tempat parkir lori dan stor penyimpanan barang pembinaan di kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi selain 15 kenderaan turut musnah.
Tinjauan Bernama setakat tengah hari tadi mendapati asap masih kelihatan di kawasan berkenaan dan bomba memaklumkan 80 peratus kebakaran sudah dipadamkan.
Kelihatan rangka lori, motor, kereta, besi buruk dan tong hangus malah penduduk sekitar dan dari luar Johor Bahru datang untuk melihat sendiri kesan kebakaran.
Rata-rata penduduk Taman Megah Ria, kawasan perumahan yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari pusat perindustrian itu juga masih terkejut dengan peristiwa tersebut yang diumpamakan mereka seperti kebakaran ‘mini Putra Heights’.
Lim Cheng Woon, 50, yang lebih 20 tahun tinggal di situ berkata beliau tidak menyangka terdapat stor penyimpanan minyak enjin bersebelahan kawasan rumahnya sehinggalah kejadian semalam berlaku.
“Kami harap lokasi stor simpanan minyak enjin ini dapat dipindahkan, kita tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku lagi,” katanya.
Setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak mengesan sebarang bacaan tidak normal bagi parameter ammonia di sekitar lokasi kejadian.
-- BERNAMA