AM

PROGRAM BAKTI MADANI UNIMAP SOKONG FOKUS KPT SEDIAKAN BAKAT TERBAIK NEGARA

22/06/2025 07:08 PM

KANGAR, 22 Jun (Bernama) -- Program Bakti MADANI Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyokong fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan bakat terbaik negara dan kemenjadian mahasiswa, sekali gus mencipta peluang serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata program itu turut berpaksikan kepada enam Teras Pembangunan Komuniti (S4S) iaitu menjadikan mahasiswa bukan sekadar berilmu tetapi berjiwa rakyat.

“Inisiatif ini juga seiring dengan misi UniMAP for Society iaitu melahirkan graduan yang bukan sekadar mencari kerja tetapi mampu mencipta peluang dan menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya ketika berucap menutup program tiga hari dua malam itu Kampung Gunung Medan di sini hari ini.

Zaliman berkata UniMAP for Society bertekad memastikan mahasiswa bukan sahaja terdidik secara akademik tetapi turut bersedia menjadi ejen perubahan yang membawa ilmu, kemahiran dan sumbangan kepada komuniti.

Beliau berkata menerusi program yang berlangsung di Kampung Gunung Medan dan Kampung Binjal itu,  mahasiswa dengan kerjasama pensyarah UniMAP memasang lima tiang lampu solar di kedua-dua kampung berkenaan.

“Projek pemasangan lampu solar itu adalah hasil inovasi pelajar Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik yang dilaksanakan secara sinergi bersama jabatan lain dalam universiti. Program ini mendekatkan universiti dengan komuniti melalui kepakaran dan teknologi dibangunkan oleh warga kampus sendiri,” katanya.

Zaliman berkata sebanyak 50 pelajar universiti itu menjadi anak angkat kepada 25 keluarga di dua kampung berkenaan, yang antara lain turut terlibat dengan aktiviti seperti gotong-royong memasak, servis motosikal serta khidmat nasihat kesihatan dan kesejahteraan.

“Program ini turut mendapat kerjasama erat Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis dan berjaya memberikan pendedahan secara langsung kepada masyarakat mengenai pengajian dan kepakaran yang ditawarkan oleh UniMAP.

“Ini memberi ruang kepada penduduk kampung mengenali lebih dekat peranan universiti dan secara tidak langsung membuka peluang kepada anak tempatan melanjutkan pengajian di UniMAP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata UniMAP turut diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pemasangan 1,100 tiang lampu solar di kawasan sempadan melibatkan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Pengkalan Hulu, Perak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan