AM

CAAM AMBIL ALIH FUNGSI MAVCOM PADA 1 OGOS - LOKE

23/06/2025 02:15 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dirasionalisasikan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini sekali gus menjadikan fungsi kawal selia industri penerbangan disatukan di bawah satu entiti, iaitu CAAM. 

Dalam sidang media di sini hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CAAM akan mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang sebelum ini dilaksanakan oleh MAVCOM. 

“CAAM dan MAVCOM dirasionalisasikan … semua fungsi kawal selia industri penerbangan termasuk aspek teknikal dan ekonomi akan disatukan di bawah satu entiti, iaitu CAAM. 

“Rasionalisasi CAAM dan MAVCOM ini merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan struktur kawal selia, mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi yang mempunyai peranan hampir sama dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu dan efisien kepada industri dan rakyat,” katanya.

Loke berkata langkah yang dilaksanakan ini selari dengan amalan terbaik antarabangsa apabila negara lain kini mengamalkan model kawal selia tunggal dalam sektor penerbangan bagi memastikan penyelarasan yang lebih berkesan.

Loke berkata rasionalisasi ini juga meletakkan asas kukuh kepada CAAM untuk memacu pertumbuhan industri penerbangan Malaysia, seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi maju yang berdaya saing dan inklusif.

Bagi melaksanakan rasionalisasi ini, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 [Akta 856] dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 [Akta A1723] telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Jun 2024 dan di Dewan Negara pada 30 Julai 2024. 

Kedua-dua akta telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Sept 2024 dan telah disiarkan dalam Warta pada 25 Sept 2024. 

“Kedua-dua akta berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 bersamaan dengan tarikh penguatkuasaan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB).

“Dengan termeterainya kedua-dua akta ini, peralihan fungsi dan tanggungjawab daripada MAVCOM kepada CAAM dapat dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan secara rasmi,” katanya.

Loke berkata semua petugas MAVCOM akan ditawarkan penempatan bersesuaian di CAAM berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. 

Beliau berkata satu sesi dialog awam juga akan diadakan bagi membincangkan kadar baharu gaji petugas CAAM susulan penggabungan dengan MAVCOM serta pertambahan tugas.

“Surat tawaran akan dikeluarkan kepada semua 57 petugas MAVCOM pada hujung bulan ini,” katanya. 

Beliau berkata menerusi penstrukturan semula ini, Malaysia kini berada dalam posisi yang lebih mantap untuk mendepani cabaran global dalam sektor penerbangan.

“CAAM akan lebih bersedia untuk memandu pertumbuhan industri penerbangan ke arah yang lebih progresif dan mampan.

“Hal ini seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau, dan menyokong agenda negara ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif, seimbang dan berpaksikan inovasi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan